suria

Pegawai Kanan TLDM Didakwa Terima Jam Mewah RM19,000

Khairul Izwan ketika keluar dari Mahkamah Sesyen Ipoh setelah membayar ikat jamin RM40,000 atas lima pertuduhan rasuah melibatkan nilai RM1.5 juta berkaitan urusan pembekalan barangan ke TLDM, antara 2014 dan 2015 pada 9 September lalu.

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan menerima seutas jam tangan mewah bernilai RM19,000 berhubung urusan pembekalan barangan ke TLDM.

Leftenan Komander Khairul Izwan Mohd Khir, 37, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rosbiahanin Arifin.

Khairul Izwan yang merupakan Pegawai Kawalan Material 2, Depot Bekalan Armada TLDM di Lumut, didakwa menerima seutas jam tangan jenama Bell  and  Ross bernilai RM19,000 daripada seorang kontraktor yang mana tertuduh mengetahui syarikat kontraktor berkenaan mempunyai hubungan dengan tugas rasmi tertuduh.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah pusat beli-belah di Bukit Bintang pada 24 Mei 2013 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Aida Addha Abu Bakar dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan memohon supaya kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh untuk dibicarakan bersama satu kes lain yang turut dihadapi tertuduh.

Peguam Norhasham Hasan yang mewakili tertuduh memohon jaminan sebanyak RM4,000 dengan alasan anak guamnya telah memberi kerjasama sejak ditangkap dan disiasat oleh SPRM selain turut dipantau oleh TLDM bagi memastikan kehadirannya ke mahkamah.

Hakim Rosbiahanin membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan supaya kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh.

Mahkamah juga menetapkan tarikh yang sama iaitu 8 Okt untuk kes itu disebut bersama dengan kes yang dihadapi tertuduh di Mahkamah Sesyen Ipoh.

Pada 9 September lepas, Khairul Izwan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh atas lima pertuduhan menerima wang dan sekeping kad debit berjumlah RM1.5 juta.-- Bernama


TLDM, SPRM, jam

Artikel Lain