suria

Tragedi Makkah: Usaha Cari Jemaah Malaysia Diteruskan

Jemaah haji Mohd Sharif Meon yang terselamat dalam kejadian kren tumbang di Masjidil Haram yang mengorbankan lebih 100 jemaah haji dan mencederakan lebih 154 jemaah haji yang lain. Foto: Bernama

MAKKAH: Usaha mencari jemaah haji Malaysia yang hilang selepas kejadian kren tumbang Jumaat lepas masih diteruskan, kata Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Beliau berkata petugas Tabung Haji (TH) meneruskan usaha mereka mencari dan mengesan jemaah terbabit di kawasan sekitar Masjidil Haram dan pusat rawatan di sekitar Makkah.

"Usaha mengesan dan mengira bilangan jemaah haji juga dijalankan 10 malam tadi di semua maktab-maktab TH di Makkah.

"Operasi ini melibatkan petugas-petugas TH dan kerjasama Sahabat TH yang membuat pengiraan jemaah dari bilik ke bilik yang bertujuan untuk memastikan tiada lagi kehilangan baru.

Sehingga 12.00 tengah malam waktu Arab Saudi (5 pagi waktu Malaysia), lapan Jemaah Haji Malaysia yang hilang masih belum dapat dikesan," katanya di sini, Ahad.

Jemaah yang masih gagal dikesan ialah Abdul Habib Lahman, 68 (berasal dariSik, Kedah), Shahidan Saad, 52 (Kodiang, Kedah), Zainun Taha, 69 (Ampang,Selangor), Rohana Ismail, 54 (Kuala Krai, Kelantan), Munah Jusoh, 73 (Cherang Ruku, Kelantan), Siti Nurolshlizan Zolkifli, 37 ( Tanah Merah, Kelantan),  Abdul Muluk Ishak, 71 (Pantai Remis, Perak) dan Rusiah Suar, 56 (Sungkai, Perak).

Dalam tragedi kren tumbang di Masjidil Haram yang mengorbankan lebih 100 nyawa itu, 10 jemaah Malaysia turut tercedera.

Syed Saleh berkata lima daripada mereka yang cedera itu telah dibenarkan pulang ke maktab penginapan masing-masing. 

"Jemaah yang dibenarkan pulang ialah Faridah Mat Yacob, Rusiah Baba, Ahmad Muzafar Mamat@Adam, Mohd Sharif Meon dan Noordin Wahab," katanya.

Lima lagi masih dirawat: "Seorang jemaah Haji masih ditempatkan di Hospital Raja Abdul Aziz, seorang menerima rawatan di Hospital Raja Faizal, seorang di Hospital An Nur dan dua orang di Pusat Rawatan Tabung Haji.

"Semua jemaah yang dirawat itu dalam keadaan stabil. Pusat Maklumat TH di Makkah juga akan memaklumkan perkembangan terkini kepada waris secara terus,"katanya.

Anggota keluarga dan waris jemaah haji boleh menghubungi talian Pusat Panggilan TH 24 Jam di 03-6207 1919 untuk mendapatkan maklumat terkini. -Bernama

Makkah

Artikel Berikut

Artikel Lain