suria

Jerebu: TUDM Sedia Jalankan Pembenihan Awan

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dengan kerjasama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah bersiap sedia untuk melaksanakan operasi pembenihan awan susulan keadaan berjerebu melanda beberapa kawasan di negara ini.

Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Madius Tangau berkata operasi itu akan dilaksanakan jika bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) berada pada tahap tidak sihat, iaitu melebihi 100 untuk tempoh 72 jam secara berterusan dan keadaan atmosfera serta awan sesuai.

"Berdasarkan perkembangan terkini, keadaan cuaca berjerebu dijangka berterusan disebabkan tiupan angin Barat Daya yang membawa asap dari kawasan yang mengalami kebakaran di Sumatera dan Kalimantan di Indonesia," katanya dalam kenyataan di sini.

Katanya, berdasarkan cerapan satelit pada Jumaat menunjukkan terdapat 304 titik panas dikesan di Sumatera, Kalimantan sebanyak 25 titik panas dan Semenanjung Malaysia hanya satu.

"Peningkatan bilangan titik panas di Sumatera dan Kalimantan dan keadaan cuaca yang agak kering pada tempoh beberapa hari lepas telah mengakibatkan berlakunya keadaan jerebu yang agak teruk di Sarawak dan beberapa negeri di Semenanjung," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Malaysia dijangka mengalami cuaca kering, Monsun Barat Daya hingga hujung bulan ini.

Setakat pukul 10 malam tadi, sebanyak 17 kawasan mencatatkan bacaan IPU tidak sihat di seluruh negara.

MetMalaysia, TUDM, Jerebu

Artikel Berikut

Artikel Lain