suria

Dua Beradik Lemas Di Pantai Tanjung Bidara

ALOR GAJAH: Dua beradik lemas manakala seorang lagi terselamat ketika sedang mandi semasa berkelah bersama keluarga di Pantai Tanjung Bidara di sini, Sabtu.

Timbalan Penguasa Bomba Bahagian Operasi negeri Kamarulzaman Mohd Din berkata mangsa pertama, Syed Alishah Syed Islam, 16, ditemui anggota Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPAM) dan orang awam kira-kira 30 meter dari pesisir pantai kira-kira pukul 3.25 petang.

Beliau berkata mangsa kedua iaitu abang mangsa Syed Muhammad Shah, 19, ditemui di tempat sama kira-kira 3.5 meter dari permukaan laut kira-kira pukul 6.40 petang.

Adik mangsa yang juga bernama Syed Muhammad Shah berusia 14 tahun bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri daripada lemas ketika berenang kira-kira pukul 3.12 petang dengan bantuan orang awam dan JPAM , katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati mangsa terjun ke dalam laut untuk berenang ketika air pasang.

Katanya operasi menyelamat melibatkan 29 anggota bomba dari lima balai dengan bantuan agensi penguatkuasa termasuk Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia, JPAM dan polis.

Sementara itu, Syed Muhammad Shah yang terselamat dalam tragedi itu berkata sebelum kejadian dia sedang mandi bersama dua abangnya tidak jauh dari tempat keluarganya berkelah sebelum abangnya, Syed Alishah terkapai-kapai.

Saya nampak abang terkapai-kapai...saya hendak ke sana untuk membantu tetapi air pasang dan tidak berani ke sana, " kata anak kelapan daripada 10 beradik itu kepada pemberita.

Beliau berkata mereka sekeluarga dari Kem Kementah Kuala Lumpur tiba di Tanjung Bidara kira-kira pukul 9 pagi tadi untuk berkelah sebelum pulang ke kampung mereka di Alor Gajah.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Muhamad Ismail Muhamad Yusuf berkata mayat kedua-dua mangsa yang ditemui lemas dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk dibedah siasat.

Beliau berkata kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Lemas, Tanjung Bidara

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain