suria

Lihat Semula Matlamat Sebenar Pesaka - Khairy

Khairy Jamaluddin (tengah) dan Dr Zambry Abdul Kadir (dua, kiri) turut menyertai acara Fit Malaysia Ride kategori 30 kilometer sebelum Perasmian FIT Malaysia peringkat Negeri Perak di Dataran Bandaraya Ipoh pada Ahad.

IPOH: Kementerian Belia dan Sukan akan melihat semula matlamat sebenar penyertaan Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) dalam 'Perhimpunan Rakyat Bersatu' pada Rabu depan.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata sekiranya perhimpunan itu diadakan bagi meraikan semangat perpaduan sempena sambutan Hari Malaysia pada 16 September, ia bukan satu isu kepada pertubuhan berkenaan.

"Kita lihat objektif perhimpunan berubah dari hari ke hari. Sekarang, ia adalah perhimpunan untuk Hari Malaysia, untuk perpaduan. Jadi, kita harus lihat apa objektif sebenar.

"Jika perhimpunan itu untuk perpaduan bagi sambutan Hari Malaysia, ia bukan masalah bagi Pesaka menjadi penganjur kerana silat bukan sekadar sukan, tapi sebahagian daripada kebudayaan Malaysia.

"Jadi, ia melangkaui sukan tapi biar saya menilainya dahulu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program Fit Malaysia 2015, peringkat negeri Perak, di Dataran Bandaraya Ipoh, di sini pada Ahad.

Khairy berkata beliau juga akan menemui Pesuruhjaya Sukan, Datuk Zaiton Othman untuk berbincang lanjut berhubung perkara tersebut.

Sebuah akhbar tempatan melaporkan Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Megat Zulkarnain Omardin, yang juga Setiausaha Agung Pesaka akan menjadi barisan hadapan dalam perhimpunan di Padang Merbok itu.

Pesaka didaftarkan di bawah Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan Akta Pembangunan Sukan 1997 kerana ia menggalakkan budaya Melayu dan sukan itu.

Sementara itu, mengenai program Fit Malaysia tersebut, Khairy berkata hampir35,000 orang daripada pelbagai lapisan terutamanya golongan muda hadir menyertai aktiviti sihat itu.

"Kita menjangkakan yang daftar untuk larian dan kayuhan membabitkan 15,000 orang manakala yang datang untuk program dan aktiviti kecergasan lain pula, sekitar 20,000. Ini menunjukkan Perak adalah antara negeri yang paling fit dan paling bersukan," katanya.

Khairy berkata matlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai negara bersukan amat bergantung kepada komitmen dan juga kerjasama daripada peringkat akar umbi dan negeri.

"Sejauh mana negeri itu komited kepada usaha membangunkan sukan untuk semua dan bukan hanya bagi sukan elit sahaja. Itulah yang paling penting dalam menjayakan matlamat itu.

"Setakat ini, kita telah mengadakan Fit Malaysia di seluruh negara kecuali Pulau Pinang dan Selangor yang mana Pulau Pinang kita akan adakan pada minggu depan dan Selangor pula selepas Hari Sukan Negara, 10 Oktober depan.

Pada program itu, Khairy turut menyerahkan replika cek berjumlah RM1,476,500 kepada kerajaan negeri bagi menjayakan sambutan Hari Sukan Negara peringkat negeri nanti.

Terdahulu, Khairy bersama Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadirdan barisan exco kerajaan negeri menyertai program Kayuhan Fit Malaysia mengelilingi bandaraya Ipoh sejauh 30 kilometer.

Pesaka, Khairy Jamaluddin

Artikel Lain