suria

Kerajaan Pertingkat Pembangunan Modal Insan Kekang Pekerja Asing -Najib

Najib Tun Razak.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, mempertingkatkan pembangunan modal insan adalah antara inisiatif yang digariskan di bawah Pelan Transformasi Industri Pembinaan (CITP) bagi mengurangkan pergantungan kepada tenaga kerja asing.

Perdana Menteri berkata, langkah-langkah yang dicadangkan termasuk memperkemas kursus-kursus berkaitan pembinaan, mewujudkan pelan latihan bagi mencatat perkembangan ke arah industri berkemahiran, menyemak semula kurikulum dan memastikan kandungan latihan industri yang terkini. 

"Satu program perantisan pakar akan dimulakan," katanya pada pelancaran Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) 2015 selama lima hari, bertemakan 'Building A Greener Future' (Membangunkan Masa Depan Lebih Mampan), di sini Khamis.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, program itu akan dijalankan menerusi kerjasama antara badan pentadbir dan peserta industri.

Ia akan berperanan sebagai platform kepada graduan daripada Akademi Binaan Malaysia serta institut pendidikan teknik dan latihan vokasional untuk diambil sebagai perantis oleh peserta industri yang melaksanakan projek-projek besar.

Satu daripada inisiatif CITP ialah memperkenalkan syarat-syarat lebih ketat bagi mengurangkan secara ketara kemalangan dan kematian dalam industri pembinaan, katanya.

"Ini akan memastikan semua kontraktor yang membida sesuatu projek membuat anggaran mencukupi kos menampung keperluan keselamatan dan kesihatan,"katanya. 

Sebagai sebahagian tonggak CITP, beliau berkata, sebuah Pusat Kecemerlangan bagi Pembinaan Lestari akan diwujudkan untuk mempromosi dan melaksana sistem dan amalan pembangunan yang lestari.

Najib berkata, pusat itu adalah sebahagian sasaran kerajaan untuk menampilkan industri pembinaan Malaysia sebagai model karbon rendah dengan bangunan dan prasarana lestari, terutama kepada negara-negara Asean.

CITP juga bertujuan mempercepatkan guna pakai Sistem Bangunan Berindustri (IBS), penggunaan jentera dan amalan-amalan moden. 

"Ini, bersama-sama penggunaan teknologi lain yang sedia ada, serta suntikan inovasi yang banyak, akan meletakkan industri pembinaan Malaysia pada kedudukan yang baik bagi mencatat pertumbuhan berterusan sambil menyediakan asas kukuh untuk peserta industri pembinaan Malaysia berkembang ke peringkat antarabangsa," katanya.

Perdana Menteri menjangka industri pembinaan bertumbuh dengan angka lebih besar pada Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) selepas industri merekodkan projek bernilai RM102 bilion pada 2011 dan bertumbuh pesat kepada RM157 bilion pada 2014.

Beliau berkata, CITP yang digubal sebagai sebahagian RMK11, bertujuan melahirkan peserta industri yang mampan dalam negara dan berupaya bersaing di persada antarabangsa.

CITP merupakan pelan pelaksanaan yang komprehensif, merangkumi 18 inisiatif daripada empat tonggak strategik iaitu kualiti, keselamatan dan profesionalisme; kelestarian alam sekitar; produktiviti; dan pengantarabangsaan.

"Setiap tonggak strategik bertujuan mengubah dan menambah baik imej awam dan antarabangsa industri," katanya.

Turut hadir ialah Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof; Timbalannya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia, Datuk Seri Judin Abdul Karim.

Artikel Berikut

Artikel Lain