suria

Pembayaran Elektronik Sepenuhnya Di Lima Plaza Tol Mulai Hari Ini

Semua kenderaan yang menggunakan Jambatan Pulau Pinang hanya boleh melakukan Transaksi Tol Tanpa Tunai iaitu menggunakan kad Touch & Go bermula Rabu. Foto Bernama

SEBERANG PERAI: PLUS Malaysia Bhd (PLUS) akan melaksanakan sistem kutipan tol secara elektronik (ETC) sepenuhnya di lima plaza tol miliknya mulai 12 tengah hari pada Rabu.

Pengurus Besar Operasi PLUS, Norbayati Manap berkata, lima plaza tol itu ialah di Jambatan Pulau Pinang, Kubang Semang dan Lunas di Pulau Pinang serta Jitra dan Bukit Kayu Hitam di Kedah.

Beliau berkata, tujuan pelaksanaan ETC adalah untuk mengurangkan kesesakan di plaza tol kerana kutipan secara elektronik mampu menjimatkan masa.

"Mulai 12 tengah hari esok (Rabu), kami tidak akan menerima pembayaran wang tunai di kelima-lima plaza tol berkenaan dan kami akan sediakan lorong 24 jam untuk pembelian kad Touch 'n Go," katanya kepada pemberita selepas melawat persiapan ETC di Jambatan Pulau Pinang pada Selasa.

Beliau berkata, hasil pemantauan PLUS mendapati pengguna ETC Jambatan Pulau Pinang telah mencapai 82,000 pengguna sehari, tol Kubang Semang 40,000, tol Lunas 34,000, tol Jitra 22,000 dan tol Bukit Kayu Hitam 3,000. 

"InsyaAllah dengan persiapan yang telah dijalankan, kita akan mampu mengendalikan jumlah trafik di kelima-lima plaza tol itu esok," katanya.

Beliau berkata, PLUS akan menyediakan kakitangan yang akan dibantu anggota Rela untuk menguruskan aliran trafik sekiranya pelaksanaan hari pertama pada Rabu menyebabkan kesesakan.

Norbayati berkata, pemantauan PLUS mendapati masih terdapat lebih kurang 20,000 pengguna lebuh raya yang membayar secara tunai.

"Setakat hari ini, peratusan jualan kami adalah menggalakkan di mana kami menawarkan 20 peratus rebat kepada pembeli kad Touch 'n Go baru yang melalui kelima-lima plaza tol tersebut sehingga 31 Disember ini," katanya.

Beliau berkata sejak Julai lepas, PLUS telah berjaya menjual lebih 150,000 kad Touch'n Go dan menjangkakan jualan itu akan meningkat lagi selepas pelaksanaan ETC nanti. - Bernama

PLUS, tol

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Hiba Meninggalkan Madinah

Artikel Lain