suria

Pasukan Pengaman Malbatt Ke Lubnan

Jalur Gemilang dan bendera Battalion 850-3 kumpulan pertama dibawa bersama menaiki pesawat khas ke Lubnan di Lapangan Terbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang pada Selasa. -fotoBERNAMA

PETALING JAYA: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mula menghantar kumpulan pasukan pengaman yang baharu ke Lubnan pada Selasa untuk menyambung misi United Nations Interim Force In Lebanon (UNIFIL).

Seramai 215 anggota dan pegawai kumpulan pertama Batalion Malaysia 850-3 (MALBATT 850-3), yang diketuai oleh Komander MALBATT 850-3 Kolonel Rizal Arif Tan Sri Ismail, untuk menggantikan kumpulan MALBATT 850-2.

Panglima Bantuan Udara, Lt Jen Datuk Sabri Adam berkata kumpulan berkenaan terdiri daripada 48 pegawai dan 167 anggota lain-lain pangkat (LLP) termasuk 2 anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, menggantikan kumpulan terdahulu yang menamatkan perkhidmatan mereka selama 12 bulan sejak dari 22 September 2014.

"Pasukan MALBATT 850-3 dijangka sampai di Lubnan kira-kira pukul 5 petang waktu tempatan manakala MALBATT 850-2 dijangka sampai ke tanah air esok pada pukul 4 petang waktu Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Pemakaian Beret Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Penyerahan Bendera Malaysia dan Penghantaran Kumpulan MALBATT 850-3 Ke Lubnan di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, pada Selasa.

Katanya penghantaran kumpulan baharu itu dibahagikan kepada empat kumpulan iaitu bermula hari ini dan seterusnya pada 11, 15 dan 18 September.

MALBATT 850-3 diberi penetapan dan kem baharu di Sektor Barat UNIFIL (UNP2-1) iaitu Kem Ma'rakah dan di bawah kawalan Markas Sektor Barat UNIFIL.

Kerajaan Malaysia telah meluluskan penglibatan ATM dalam misi UNIFIL sejak tahun 2007 bagi membantu pasukan pengaman dari lain-lain negara anggota PBB menguatkuasakan Resolusi 1701 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Malbatt, ATM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain