suria

Dua Pegawai TLDM Mengaku Tidak Bersalah Pertuduhan Rasuah

IPOH: Dua pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan rasuah membabitkan lebih RM2 juta, berkaitan urusan pembekalan barangan ke TLDM , antara 2014 dan 2015.

Kapten Abdul Aziz Gaffor, 54, menghadapi tujuh pertuduhan menerima suapan barangan berharga bernilai RM1,052,120.60 manakala Leftenan Komander Khairul Izwan Mohd Khir, 37, menghadapi lima pertuduhan melibatkan nilai RM1,500,000.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu ketika masing-masing bertugas sebagai Pegawai Pemerintah Depot Bekalan Armada TLDM dan Pegawai Kawalan Material 2, Depot Bekalan Armada TLDM di Lumut.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Hakim Ahmad Rihaida Rafie membenarkan Abdul Aziz diikat jamin sebanyak RM56,000 (RM8,000 bagi setiap pertuduhan) dengan seorang penjamin manakala Khairul Izwan sebanyak RM40,000 (RM8,000 bagi setiap pertuduhan), juga dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 8 Oktober depan bagi kedua-dua kes disebut semula.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Suffian Jaafar manakala Abdul Aziz diwakili peguam Zamri Idris, Mohd Fadly Hashim dan Collin Arvind Andrew; dan Khairul Izwan diwakili peguam Norhasham Hasan.

Bagi tiga pertuduhan pertama, Abdul Aziz dituduh menerima seutas jam tangan Rolex bernilai RM57,071, sekeping cek Maybank bernilai RM300,000 dan  pindahan telegraf berjumlah RM30,000 daripada Hussin Roslim@Roslind sedangkan tertuduh mengetahui syarikat Hussin mempunyai hubungan dengan tugas rasmi tertuduh.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu masing-masing di Nombor 16, Persiaran Venice Intan 5/1, Desa Manjung Seri Manjung, Manjung pada Mac 2014 dan melalui akaun pihak ketiga di Maybank Cawangan Lumut pada 26 Oktober 2014 dan akaun CIMB di bangunan Lembaga Tabung Haji Cawangan Sitiawan pada 18 November 2014.

Dia juga didakwa menerima sekeping cek CIMB bernilai RM60,000 pada 10 Disember 2014 dan satu transaksi menerusi Sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti Secara Elektronik Masa Nyata (Rentas) bernilai RM300,000 pada 26 Oktober 2014 melalui akaun Maybank pihak ketiga di CIMB Bank, Cawangan Seri Manjung.

Bagi pertuduhan keenam dan ketujuh, Abdul Aziz tertuduh didakwa menerima sekeping kad debit Bank Islam bernilai RM267,904.60 dan sebuah telefon bimbit jenama Vertu bernilai RM37,145.00 di Nombor 16, Persiaran Venice Intan 5/1, Desa Manjung, Seri Manjung pada Disember tahun lepas.

Khairul Izwan pula didakwa menerima wang berjumlah RM200,000 dan RM500,000 masing-masing pada 9 Februari dan 12 Februari tahun ini daripada Hussin, melalui akaun Affin Bank Berhad milik pihak ketiga di Affin Bank Cawangan Sitiawan, Manjung.

Dia juga didakwa menerima wang berjumlah RM500,000 dan RM200,000 pada 16 Februari dan 27 Februari 2015 melalui akaun Affin Bank Berhad milik pihak ketiga di tempat yang sama.

Bagi pertuduhan kelima, Khairul Izwan didakwa menerima sekeping kad debit CIMB bernilai RM100,000 daripada Mohd Nasir Abdullah sedangkan mengetahui syarikat milik Mohd Nasir mempunyai hubungan dengan tugas rasmi tertuduh, di CIMB Bank Cawangan Seri Manjung pada 7 Jan 2014.

Terdahulu, Suffian menawarkan wang jaminan RM20,000 bagi setiap satu kesalahan dengan seorang penjamin bagi kedua-dua tertuduh.

Bagaimanapun, peguam Zamri, yang mewakili Abdul Aziz memohon agar wang jaminan dikurangkan menjadi RM5,000 bagi setiap kesalahan dengan alasan akaun milik tertuduh telah dibekukan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Peguam Norhasham yang mewakili Khairul Izwan juga memohon agar wang jaminan dikurangkan menjadi RM5,000 bagi setiap kesalahan dengan alasan isterinya tidak bekerja dan mempunyai tiga anak.

Hakim kemudiannya menetapkan wang jaminan RM8,000 bagi setiap kesalahan dengan seorang penjamin.
rasuah, pegawai TLDM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain