suria

Plus Laksana ETC Di Semua Plaza Tol Pada 2017

SEorang penunggang motosikal menggunakan kad Touch N Go di plaza tol jambatan Pulau Pinang selepas PLUS Malaysia Bhd (Plus) melaksanakan sistem kutipan tol secara elektronik bermula Rabu. -foto THE STAR
BUTTERWORTH: PLUS Malaysia Bhd (Plus) akan melaksanakan sistem kutipan tol secara elektronik (ETC) sepenuhnya di semua plaza tol miliknya mulai tahun 2017.


Ketua Pegawai Operasi PLUS, Mohd Fuad Khusairi berkata ketika ini sebanyak 14 daripada 92 plaza tol miliknya telah melaksanakan sistem ETC manakala bakinya masih menggunakan sistem tol tertutup.

"Plus menjangkakan ia dapat dilaksanakan dalam tempoh dua tahun lagi, ia adalah antara usaha kami mengurangkan kesesakan di plaza tol kerana kutipan secara elektronik mampu menjimatkan masa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat tinjauan pelaksanaan ETC di plaza tol Jambatan Pulau Pinang, di sini Rabu.

Selain plaza tol Jambatan Pulau Pinang, empat lagi plaza tol turut melaksanakan sistem ETC sepenuhnya di Kubang Semang, Pulau Pinang, serta Lunas, Jitra dan Bukit Kayu Hitam di Kedah mulai pukul 12 tengah hari ini.

Katanya pelaksanaan ETC sepenuhnya di Jambatan Pulau Pinang dijangka dapat melancarkan 30 hingga 50 peratus kesesakan trafik di laluan itu dan memberi penjimatan masa kepada pengguna.

Mohd Fuad berkata sebanyak 82,000 kenderaan menggunakan Jambatan Pulau Pinang setiap hari dan sebelum pelaksanaan ETC, 90 peratus daripadanya sudah menggunakan ETC.

"Mengikut rekod, penggunaan SmartTAG mampu mencatatkan 1,200 transaksi dalam tempoh satu jam berbanding tunai yang hanya mencatatkan 400 transaksi manakala kad PLUSMiles dan Touch 'n' Go pula mencatatkan 550 transaksi bagi tempoh sama," katanya.

Beliau berkata Plus juga membelanjakan hampir RM10 juta bagi menyerap kos promosi dan rebat yang diberikan di semua lima plaza tol berkenaan bermula 1 Sept hingga 31 Dis ini.

Katanya Plus turut menawarkan 20 peratus rebat kepada pembeli kad Touch 'n' Go baharu yang melalui kelima-lima plaza tol berkenaan sehingga 31 Dis ini.

Sementara itu, katanya aliran trafik berjalan lancar dan tiada kesesakan di lima plaza tol berkenaan terutama di Jambatan Pulau Pinang selepas pelaksanaan sistem ETC.

Mohd Fuad berkata pihaknya turut menempatkan kakitangan Plus di lima plaza tol yang melaksanakan ETC hari ini bagi menjual kad PLUSMiles dan Touch 'n' Go kepada pemandu kenderaan yang belum memilikinya.

"Setakat ini, semua berjalan lancar dan aliran trafik juga baik. Kakitangan Plus dibantu polis trafik dan RELA membantu pengguna di lima plaza tol berkenaan untuk melancarkan perjalanan mereka," katanya.

Tinjauan Bernama di plaza tol Jambatan Pulau Pinang dan Kubang Semang juga mendapati trafik bergerak lancar walaupun hujan lebat hari ini kerana kebanyakan pengguna telah memiliki kad PLUSMiles dan Touch 'n' Go.

Seorang pemandu van, Jamal Othman, 46, berkata penggunaan kad Touch 'n' Go lebih mudah dan melancarkan perjalanan pengguna di plaza tol Jambatan Pulau Pinang.

"Setiap hari saya menggunakan Jambatan Pulau Pinang untuk mengambil barangan jualan di George Town dan saya nampak dengan pelaksanaan ETC hari ini, perjalanan lebih lancar. Tidak sesak seperti selalu," katanya.
Plus, ETC, Mohd Fuad Khusairi

Artikel Sebelum

Artikel Lain