suria

1MDB Bidas Nazir Razak

KUALA LUMPUR: 1Malaysia Development Bhd (1MDB) membidas  Datuk Seri Nazir Razak atas pendapat berbentuk spekulatif beliau terhadap kenyataan tertentu yang dibuat oleh bekas penasihat 1MDB Tan Sri Datuk Dr Abdul Samad Alias pada Isnin.

"Kami kesal kerana hari ini pihak ketiga seperti Nazir, yang tidak mempunyai pengetahuan langsung mengenai fakta sebenar, memberikan pendapat berbentuk spekulatif," kata syarikat itu.

1MDB dalam satu kenyataan di sini, mengesahkan bahawa Presiden/Pengarah Eksekutif Kumpulan Arul Kanda menemui Abdul Samad pada Januari dan Mac bagi membincangkan hal ehwal syarikat berkenaan.

"Arul berkongsi maklumat mengenai kajian semula strategik dan pelan pembaharuan 1MDB dengan Abdul Samad.

"Ini termasuk pembentangan slaid yang menunjukkan tahap obligasi hutang dan faedah syarikat, serta perbincangan mengenai cadangan untuk menangani isu-isu utama yang dihadapi 1MDB," katanya.

Sementara itu, 1MDB berkata syarikat berkenaan tidak menerima sebarang 'permintaan berulang' untuk memperoleh maklumat seperti yang didakwa oleh Abdul Samad.

Ia berkata penyata kewangan 1MDB yang telah diaudit merupakan dokumen yang boleh diakses oleh orang awam, dan syarikat sudah pasti dapat berkongsi dokumen ini dengan Abdul Samad jika permintaan dibuat atau dibuat beberapa kali seperti didakwa oleh Abdul Samad.

Abdul Samad juga mempunyai maklumat mengenai anggota lembaga pengarah 1MDB, termasuk nombor telefon mudah alih Arul, kata syarikat pelaburan strategik itu.

"Bagaimanapun, 1MDB akan menangani kebimbangan yang dibangkitkan oleh Abdul Samad.

"Lembaga Pengarah 1MDB hari ini menghantar surat kepada Abdul Samad untuk mengadakan pertemuan dengan beliau bagi berbincang dan menjelaskan sebarang kebimbangan yang dibangkitkan beliau," katanya IMDB.

1MDB

Artikel Sebelum

Artikel Lain