suria

Guan Eng Terbuka PAS Tanding Kerusi DAP

Lim Guan Eng.

GEORGE TOWN: Lim Guan Eng mengalu-alukan hasrat PAS untuk bertanding di kerusi milik DAP, memberitahu mereka supaya mencuba nasib di kerusi Air Putih terlebih dahulu.

"Saya tidak terkejut kerana ini adalah sejajar dengan pendirian terkini PAS yang menjadi musuh. Ia hanya dalam jangkaan.

"Jika PAS sangat yakin untuk bertanding di kubu kuat DAP, kerana ia hak mereka dalam sistem demokrasi, maka kita dengan rendah diri menerima cabaran tersebut.

"Pertama sekali, saya mempelawa mereka untuk bertanding di kawasan saya, Air Putih," katanya pada sidang media di sini Isnin.

Namun, Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata DAP tidak akan bertanding di kerusi milik PAS.

"Musuh kami adalah Barisan Nasional, Umno dan rasuah," katanya Lim yang juga Setiausaha Agung DAP.

Beberapa portal berita melaporkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai berkata mereka sedang merancang untuk bertanding di kerusi milik DAP pada pilihan raya umum akan datang.

Tindakan tersebut dilihat sebagai serangan balas terhadap parti baharu, Parti Amanah Negara (Amanah) yang menunjukkan kecenderungan bertanding di kerusi milik PAS.

PAS, DAP, Lim Guan Eng

Artikel Lain