suria

Man Solo, Kaki Pecah Rumah Di Putrajaya Diberkas

PUTRAJAYA: Kegiatan seorang individu yang digelar 'Man Solo' yang aktif memecah rumah di sekitar Putrajaya secara berseorangan sejak 2013 tumpas apabila dia dicekup di Kuala Lumpur pada 28 Ogos lepas.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP Rosly Hassan berkata lelaki berumur 43 tahun itu ditahan di Jalan Ipoh Kecil setelah polis mengesannya ekoran kes pecah rumah yang dilakukannya di Presint 14 pada 14 Ogos lalu.

Kes itu melibatkan kehilangan barang kemas dan gajet bernilai kira-kira RM18,000.

Beberapa peralatan pecah rumah seperti kuku kambing, gergaji besi, pemutar skru dan kerambit dirampas dari beg sandangnya, katanya.

Beliau berkata setelah disiasat Man Solo mengaku terlibat dalam 45 kes pecah rumah di Putrajaya.

"Empat cap jarinya ditemui dalam dua kes di Putrajaya pada 2013, satu kes pada 2014 dan satu kes tahun ini. Cap jarinya turut ditemui dalam satu kejadian pecah rumah di Ampang, Selangor," kata Rosly.

Beliau berkata sehari sebelum penahanan Man Solo iaitu pada 27 Ogos, seorang lelaki yang juga berumur 43 tahun ditahan di Jalan Batu Bata off Jalan Ipoh di Kuala Lumpur yang disyaki bertindak sebagai penjual barangan yang dicurinya.

Man Solo akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya esok.

Putrajaya, Man Solo

Artikel Berikut

Artikel Lain