suria

Wujud Unsur Jenayah Dalam Kes Kehilangan Kevin Morais

Keadaan kereta yang dikaitkan dengan kehilangan Kevin Morais musnah terbakar.

HUTAN MELINTANG: Polis tidak menolak wujud unsur jenayah dalam misteri kehilangan Timbalan Pendakwa Raya, Anthony Kevin Morais selepas kereta yang dikaitkan dengan beliau ditemui terbakar.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata ini kerana pihaknya masih belum menemui sebarang bukti di tempat kejadian.

"Kita telah meminta bantuan daripada Bahagian Forensik untuk membuat pengesahan identiti kereta tersebut.

"Namun, sehingga kini kita masih gagal mengesan nombor casis pada kenderaan itu.

"Tindakan itu menunjukkan jenayah tersebut dirancang begitu rapi oleh pihak tertentu hingga polis tidak menemui sebarang bukti di tempat kejadian," katanya kepada pemberita di Pusat Operasi Mencari dan Menyelamat di Jeti Hutan Melintang di sini, Ahad.

Beliau berkata, setakat ini, hasil siasatan polis tidak mempunyai sebarang bukti yang boleh mengaitkan kenderaan tersebut dengan identiti atau personaliti berkenaan.

Jelasnya, tiada sebarang dokumen diperolehi di tempat kejadian berikutan keadaan kenderaan berkenaan musnah terbakar.

Beliau berkata penemuan kenderaan itu berdasarkan maklumat daripada beberapa saksi kejadian yang terdengar letupan serta seorang saksi melalui jalan tersebut secara kebetulan dan ternampak kenderaan itu terbakar.

"Kita akan bawa kereta itu ke Balai Polis Hutan Melintang dan menunggu bantuan daripada Jabatan Kimia untuk mengesahkan jenis kenderaan itu," katanya.

Mohd Shuhaily berkata Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul menyiasat kes tersebut berkaitan orang hilang berikutan laporan dibuat mengenai kehilangan Morais.

Morais dikatakan kali terakhir dilihat meninggalkan pangsapurinya di Menara Duta, Kuala Lumpur pada Jumaat lepas untuk ke pejabatnya di Putrajaya.

Beliau dilapor memandu kereta Proton Perdana berwarna kelabu dengan nombor pendaftaran WA6264Q.  

Anthony Kevin Morais, hilang

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain