suria

SPRM Terkejut Berita Kehilangan Kevin Morais

Anggota forensik PDRM memeriksa kereta dipercayai milik Kevin Morais yang ditemui terbakar dalam ladang kelapa sawit di Kampung Sungai Samak, Ahad. -fotoBERNAMA

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berharap agar berita kehilangan Timbalan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Pejabat Peguam Negara, Anthony Kevin Morais, sejak Jumaat lepas tidak dikaitkan dengan mana-mana siasatan yang sedang dijalankan badan penyiasat itu dan polis berhubung kebocoran maklumat.

Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki berkata berita kehilangan Morais amat mengejutkan suruhanjaya tersebut.

"SPRM terkejut dengan berita kehilangan Kevin Morais dan berharap keluarga beliau akan bersabar sementara pihak Polis Diraja Malaysia sedang bertindak untuk mengesan beliau.

"SPRM berharap agar tidak ada mana-mana pihak membuat spekulasi tidak berasas mengenai berita kehilangan Kevin Morais. Kami berharap agar beliau akan ditemui selamat secepat mungkin," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurut Azam, sepanjang tempoh bertindak sebagai Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Kevin Morais telah mengendalikan banyak kes berprofil tinggi dan sehingga kini masih mengendalikan beberapa kes melibatkan SPRM.

"Saya sendiri mengenali Kevin Morais dengan rapat sejak berkhidmat di SPRM dan berharap semua pihak akan mendoakan keselamatan beliau," katanya.

Dilaporkan penemuan kereta Proton Perdana yang terbakar di Hutan Melintang pada Sabtu dikaitkan dengan kehilangan Kevin Morais.

Kali terakhir Kevin Morais dilihat ketika meninggalkan kediamannya menaiki kenderaan sama di Menara Duta untuk ke tempat kerjanya di Pejabat Peguam Negara pada pagi Jumaat.

Sebelum ini, Morais dipinjamkan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meninggalkan kediamannya pada pukul 9 pagi menaiki Proton Perdana kelabu dengan bernombor WA6264Q.

Difahamkan, seorang rakannya cuba menghubungi Morais pada kira-kira pukul 10.30 pagi dan seterusnya pukul 3 petang tetapi gagal.

Rakannya itu kemudiannya menghubungi pejabat apabila dimaklumkan Morais tidak hadir ke pejabat hari itu.

Kevin Morais pernah berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan, SPRM dan mewakili badan penyiasat itu sebagai Timbalan Pendakwa Raya selama hampir 10 tahun sebelum kembali ke Jabatan Peguam Negara pada 1 Julai 2014.

Menurut sumber, Morais tidak terbabit dalam siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).



SPRM, Anthony Kevin Morais

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain