suria

Bai'ah Talak Tiga: Ahli Umno Tawar 'Cina Buta'

Dr Hatta Ramli

PETALING JAYA: Ketika bekas wakil rakyat PAS yang menyertai Parti Amanah Negara berhadapan isu bai'ah talak tiga ke atas isteri mereka, seorang pemimpin Umno tampil menawarkan khidmat 'cina buta' sebagai penyelesaian.

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos berkata, 35 sukarelawan berumur dalam lingkungan 35 tahun yang berstatus bujang dan duda sedia untuk menyediakan perkhidmatan berkenaan.

Jelas Jamal yang juga Pengerusi Gabungan NGO Melayu Islam itu lagi, bekas pemimpin PAS yang berminat hanya akan dikenakan bayaran serendah RM14 iaitu kadar untuk dua gantang beras.

"Bekas kepimpinan PAS yang terlibat dan berminat boleh menghubungi kami bagi berbincang lanjut mengenai tawaran ini.

"Terma dan syarat lain mengenai tawaran ini terutama tempoh perkahwinan boleh dibincangkan dengan lebih lanjut kemudian," katanya.

Sebelum ini Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Mohammad menasihatkan Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli supaya memberi penjelasan kepada Mahkamah Syariah negeri itu berhubung dakwaan taklik cerai talak tiga yang dibaiahnya.

Semua wakil rakyat PAS di Kelantan dikatakan pernah melafazkan bai’ah akan jatuh talak tiga terhadap isteri jika mengkhianati parti Islam itu tanpa melepaskan jawatan wakil rakyat yang disandang.

Menurut sistem perundangan Islam, jika suami menceraikan isterinya dengan talak tiga, maka mereka tidak boleh kembali menjadi suami isteri kecuali memenuhi syarat yang ditetapkan.

Jika pasangan itu ingin merujuk semula, Islam meletakkan tiga syarat iaitu bekas isteri mestilah berkahwin dengan lelaki lain dengan akad nikah yang sempurna, bekas isteri sudah disetubuhi oleh suami baharunya dan wanita itu diceraikan oleh suami baharunya.

Namun isu 'cina buta' atau nikah muhallil terus menjadi perdebatan di kalangan pakar perundangan Islam dengan ada yang berpandangan bahawa ia adalah haram dan tidak sah atas pelbagai hujah.

Bai'ah, Talak Tiga, Jamal Md Yunos, PAS, Umno

Artikel Sebelum

Artikel Lain