suria

Tidak Benar Malaysia Bakal Bankrap - KSU Perbendaharaan

PUTRAJAYA: Dakwaan bahawa Malaysia akan menjadi bankrap berikutan kejatuhan nilai ringgit dan penurunan harga minyak adalah tidak benar, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Beliau berkata, ekonomi negara ketika ini masih berkembang kukuh pada kadar melebihi lima peratus dengan pelbagai pembaharuan akan dibuat bagi memastikan kerajaan terus berbelanja secara berhemah.

Katanya selain Malaysia, banyak negara yang bergantung kepada ekonomi berasaskan komoditi seperti Australia, Rusia dan Brazil mengalami kejatuhan nilai mata wang yang lebih teruk berikutan penurunan harga minyak dunia dan pengukuhan dolar Amerika.

"Sekarang ekonomi kita masih berkembang dan lebih kukuh berbanding krisis kewangan 1997/1998 di mana perkembangan ekonomi kita ketika itu adalah negatif.

"Namun ketika ini kita masih lagi boleh membayar gaji kakitangan awam. Kalau kita nak bankrap, kita tak mampu bayar (gaji)," katanya ketika menyampaikan ucaptama sempena rakaman program bual bicara khas TV Alhijrah bertajuk 'Tea Time With Managing Director of Shell Malaysia, Azman Ismail' di sini, Ahad.

Mohd Irwan berkata penubuhan Jawatankuasa Khas Ekonomi (JKE) yang dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar merupakan sebahagian daripada langkah kerajaan bagi menangani cabaran ekonomi negara.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengumumkan langkah yang perlu dilakukan berdasarkan cadangan daripada jawatankuasa itu tidak lama lagi selain pengumuman Bajet 2016 pada 23 Oktober depan.

"Inilah antara perancangan kerajaan. Bukan semuanya cantik, setiap negara ada kekurangan tetapi kita cuba perbanyakkan perkara yang baik supaya ekonomi negara kekal kukuh," jelasnya.-- Bernama


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain