suria

Bersih 4: Pemuda Umno Kuala Langat, 10 NGO Buat Laporan Polis

BANTING: Pemuda UMNO Bahagian Kuala Langat bersama 10 badan bukan kerajaan (NGO) di Kuala Langat membuat laporan polis terhadap penganjur dan peserta perhimpunan haram Bersih 4 kerana memijak gambar pemimpin negara.

Ketua Pemuda Umno Bahagian Kuala Langat, Jefrizal Mohd Jaafar, berkata 11 laporan polis berasingan itu dibuat agar polis dapat menjalankan siasatan dan tindakan perundangan dapat diambil.

"Laporan ini dibuat bagi polis menyiasat dan mengambil tindakan tegas ke atas pelaku provokasi serta penganjur himpunan Bersih yang gagal menghalang peserta daripada melakukan perbuatan bersifat hasutan," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di sini, Sabtu.

Beliau berkata pihaknya juga mahu polis menyiasat insiden peserta memijak gambar dua pemimpin utama iaitu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam perhimpunan itu.

"Perbuatan tersebut adalah satu provokasi terlampau dan boleh mendatangkan perasaan marah kepada ahli-ahli kedua-dua parti," katanya.

Antara badan bukan kerajaan di Kuala Langat yang membuat laporan polis adalah Gerakan Belia 4B, Perkasa, Persatuan Pedagang Dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) dan Persatuan Seni Silat Gayong Maarifat.-- Bernama


Bersih 4, Umno, NGO

Artikel Lain