suria

Isytihar Darurat Jerebu Di Kawasan Bahaya - Jokowi

JAKARTA: Presiden Joko Widodo mengarahkan kerajaan tempatan di wilayah yang mengalami masalah jerebu pada tahap bahaya supaya mengisytiharkan darurat.

Akhbar-akhbar tempatan menyebut beliau sebagai berkata menerusi pengisytiharan darurat itu, kerajaan pusat dapat mengambil langkah-langkah segera menangani masalah yang dilaporkan semakin memburuk terutama di beberapa daerah di Sumatera dan Kalimantan.

Joko, lebih dikenali dengan panggilan Jokowi, juga mengarahkan Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB), Tentera Nasional indonesia (TNI), Polis Republik Indonesia (Polri) dan kerajaan tempatan mengadakan operasi darurat jerebu di kawasan-kawasan terlibat.

Pada Jumaat, pihak berkuasa Indonesia memberi amaran mengenai jerebu yang dijangka mungkin lebih teruk berbanding tahun-tahun sebelumnya selepas imej satelit mengesan lebih 600 lokasi titik panas di Jambi, Riau dan Sumatera Selatan.

Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) Indonesia dalam satu kenyataan berkata, sebanyak 229 titik panas dikesan di Jambi, Sumatera Selatan (189) dan Riau (178).

Ketua Pusat Data Informasi BNPB, Sutopo Purwo pula berkata, jarak penglihatan di daerah Jambi dan Pekanbaru di Sumatera hanya 500 meter yang menyebabkan beberapa buah sekolah dan lapangan terbang terpaksa ditutup.

Katanya, sebanyak enam wilayah diletakkan di bawah status siap sedia darurat iaitu Riau, Jambi, Sumatera Selatan, Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan. -- Bernama

Jokowi, jerebu, BNPB, Indonesia

Artikel Berikut

Artikel Lain