suria

Wanita Tiga Beranak Ditahan Miliki Dadah

SEREMBAN: Tiga wanita yang mempunyai ikatan kekeluargaan  ditahan polis kerana memiliki satu kilogram dadah dan 690 biji Pil Erimin 5 yang kesemuanya bernilai RM50,350, kata Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Jaafar Mohd Yusof.

Beliau berkata ketiga-tiga suspek berumur antara 40 hingga 72 tahun itu ditahan di rumah mereka di Tampin pada Rabu lepas.

"Pihak polis mula mengesan aktiviti mereka pada awal tahun ini dan semenjak itu kami mula membuat pantauan dan selepas mendapat bukti yang mencukupi serbuan dibuat di rumah mereka.

"Hasil pemeriksaan, pihak polis menjumpai dadah disyaki heroin dengan anggaran berat satu kilogram dan dadah disyaki Pil Erimin 5 sebanyak 690 biji dengan anggaran berat 195 gram yang disorok di dalam sebiji tempayan di rumah mereka," katanya.

Bercakap dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di sini, Jumaat, Jaafar berkata kesemua suspek yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu ditahan reman tujuh hari dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

"Ujian saringan awal ke atas ketiga-tiga suspek didapati negatif dadah dan mereka tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau," katanya.

Beliau berkata siasatan mendapati bekalan dadah yang dirampas itu diperoleh dari Pulau Pinang dan untuk dipasarkan ke Melaka dan Johor.

"Kejayaan ini adalah hasil daripada komitmen dan kerjasama masyarakat dengan pihak polis yang erat," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Jaafar berkata Jabatan Siasatan Jenayah Negeri berjaya menahan 32 pengedar dadah di bawah Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985 dalam tempoh 1 Jan hingga 31 Ogos tahun ini, berbanding 44 orang pengedar bagi tempoh sama tahun lepas.

Katanya bagi tempoh itu juga tangkapan melibatkan aktiviti pembekalan, permintaan dan penyalahgunaan dadah mencatatkan peningkatan iaitu sebanyak 5,547 tangkapan berbanding 4,462 tangkapan bagi tempoh sama tahun lepas.

Dadah, Polis, Negeri Sembilan

Artikel Sebelum

Artikel Lain