suria

Perampas MT Orkim Boleh Didakwa Di Malaysia

KUALA LUMPUR: Pakar undang-undang di sini berkata Malaysia mempunyai kes kukuh untuk mendakwa dalang kes rampasan kapal tangki Malaysia, MT Orkim Harmony.

Ketua Kluster Tadbir Urus, Undang-Undang dan Pentadbiran Awam Majlis Profesor Negara Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod berkata malah jika kesalahan itu dilakukan di perairan antarabangsa sekalipun, kapal itu didaftar dan mengibarkan bendera Malaysia.

"Oleh itu, Malaysia mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan kes itu di sini," katanya.

Beliau memberikan contoh kes melibatkan tujuh warganegara Somalia yang dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana melepaskan tembakan ke arah tentera Malaysia semasa merompak sebuah kapal di perairan Somalia pada 2011.

Peguam bidang jenayah Datuk N. Sivananthan dan Amer Hamzah Arshad bersetuju bahawa suspek boleh didakwa di Mahkamah Malaysia jika kesalahan itu dilakukan dalam kawasan Malaysia.

Amer Hamzah berkata terdapat undang-undang yang memberikan bidang kuasa kepada Mahkamah Malaysia seperti Akta Kesalahan-Kesalahan Di Luar Negeri 1976 dan Seksyen 22 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

"Menurut Akta Laut Wilayah 2012, serta Konvensyen Pertubuhan Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut, luas wilayah laut di Malaysia bagi semua tujuan mestilah 12 batu nautika.

"Bagaimanapun, dalam keadaan tertentu, malahan jika kesalahan dilakukan di kawasan laut lepas, seperti pelanunan ke atas kapal Malaysia, dengan itu Mahkamah Malaysia mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan kesalahan itu," katanya.

Katanya Seksyen 22 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 antara lain memperuntukkan bahawa Mahkamah Malaysia mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan semua kesalahan yang dilakukan di dalam negara.

Sehubungan itu, ini turut terpakai bagi kesalahan pelanunan atau rampasan terhadap mana-mana kapal atau pesawat yang berdaftar di Malaysia, yang dilakukan oleh mana-mana warganegara, penduduk tetap atau warga asing.

MT Orkim Harmony yang membawa muatan 6,000 tan minyak RON95 milik Petronas, dirampas pada 11 Jun, 2015, kira-kira 30 batu nautika dari Tanjung Sedili di Johor, di perairan Malaysia.

Kapal tangki itu yang membawa 22 anak kapal terdiri daripada 16 warga Malaysia, lima warga Indonesia dan seorang warga Myanmar, dikesan pesawat P-3C Orion milik Tentera Udara Diraja Australia di Teluk Siam pada 17 Jun.

Sementara itu, Nik Ahmad Kamal berkata berhubung penahanan seorang warga Indonesia baru-baru ini di Indonesia kerana disyaki menjadi dalang kes rampasan kapal tangki itu, lelaki itu boleh diekstradisi ke Malaysia dan didakwa di Mahkamah Malaysia.

"Malaysia menjalin kerjasama dengan semua polis negara ASEAN menerusi ASEANAPOL. Walaupun lelaki itu ditahan di Indonesia, Malaysia boleh memohon untuk suspek dihantar ke sini," katanya.

Sivananthan, yang juga peguam dalam senarai Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), berkata Malaysia perlu memfailkan permohonan untuk suspek diekstradisi.

"Suspek akan berhujah yang dia tidak terlibat dalam jenayah itu dan Mahkamah Indonesia perlu berpuas hati dengan keterangan yang mencukupi sebelum membenarkan ekstradisi," katanya.

Menurut Sivananthan, Malaysia mempunyai Akta Bantuan Bersama Dalam Perkara Jenayah yang membolehkan Indonesia untuk berkongsi maklumat mereka dengan pihak berkuasa Malaysia untuk membina kes terhadap suspek.

Mengenai representasi undang-undang, ketiga-tiga pakar berkata orang yang dituduh akan diberikan hak untuk dibela oleh peguam pilihan mereka.

Amer Hamzah berkata peguam asing tidak boleh menjalankan khidmat sebagai  pengamal guaman di Malaysia, "tetapi tiada apa yang menghalang peguam Indonesia untuk bekerjasama dengan peguam Malaysia (di belakang tabir) bagi tujuan mewakili warganegara Indonesia di Mahkamah Malaysia".

"Banyak peguam telah mewakili warga asing di Mahkamah Malaysia. Saya sendiri pernah mewakili tertuduh yang terdiri daripada warga pelbagai negara di Mahkamah Malaysia.

"Baru-baru ini saya mewakili empat 'Masters of Vessels' warga Indonesia di mahkamah kita," katanya.

Artikel Lain