suria

Anak Panda Pamer 100 Peratus Ciri Asas Panda Pada Usia 15 Hari

KUALA LUMPUR: Anak panda yang belum diberikan nama kini sudah menampakkan 100 peratus ciri-ciri asas panda apabila sudah berbulu dan menampakkan tompokan hitam.

Pengarah Zoologi dan Veterinar, Pusat Konservasi Panda Gergasi (GPCC), Dr Mat Naim Ramli berkata pertumbuhan bulu hitam dan putih pada badan anak panda gergasi itu semakin lebat dan sihat.

"Semenjak tiga hari yang lalu, badan anak panda sudah mula mempamerkan tompokan hitam di setiap sempadan yang sepatutnya iaitu di bahagian mata, telinga, bahu, dada, kaki dan tapak kakinya," katanya kepada pemberita selepas sambutan Majlis Hari Lahir Panda Gergasi Xing Xing dan Liang Liang kali ke-9 di sini Khamis.

Menurut Dr Mat Naim, anak panda yang berusia 15 hari itu masih buta dan kini kurang mengeluarkan bunyi apabila diasingkan daripada Liang Liang.

"Anak panda dan Liang Liang seakan memahami keperluan pengasingan mereka berdua selama dua minit yang dilakukan seminggu sekali.
Liang Liang, yang melahirkan anak pada 18 Ogos lepas, pada mulanya enggan melepaskan anaknya dan menggunakan kedua-dua tangan untuk memangku dan melindungi anaknya, menyukarkan petugas untuk membuat pemeriksaan.


"Malah Liang Liang kini lebih mudah didekati oleh pasukan veterinar yang bertanggungjawab memantau dan menjaga kesihatan kedua-dua mereka," katanya.

Dr Mat Naim dan pasukannya menjangkakan peningkatan berat badan anak panda kepada 400 gram pada Sabtu ini berbanding 380 gram pada Khamis.

Diet pemakanan Liang Liang pula semakin berubah apabila mula menerima buluh muda, sambil mengekalkan pengambilan lobak merah, glukos dan air garam bagi memastikan penghasilan susu badan yang baik kepada anaknya.

"Liang Liang seperti mengetahui kesukaran kami untuk mendapatkan rebung bersaiz bawah 0.3048m apabila dia mula menerima buluh muda bersaiz 0.9144m hingga 1.2192m semenjak kelahiran anaknya," katanya.

Pemantauan ke atas kedua-dua panda tersebut masih dijalankan selama 24 jam dengan menyediakan makanan kepada Liang Liang setiap tiga jam.

Mengikut perjanjian dengan China, anak panda gergasi yang belum diberi nama itu hanya boleh berada di negara ini selama dua tahun sahaja sebelum dihantar pulang ke republik berkenaan.

Liang Liang dan pasangannya Xing Xing, yang sebelum ini dikenali dengan nama Fu Wa dan Feng Yi, tiba di Malaysia dari China pada 24 Mei tahun lepas sebagai simbol jalinan hubungan diplomatik 40 tahun antara Kuala Lumpur dan Beijing.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain