suria

Bai'ah: Mat Sabu Minta Guna Pandangan 'Paling Ringan'

PETALING JAYA: Bekas wakil rakyat PAS yang bertindak keluar parti dan menyertai Parti Amanah Negara (Amanah) diminta merujuk kepada ulama muktabar berhubung status bai'ah cerai talak tiga yang dibuat sebelum ini.

Pengerusi Amanah, Mohamad Sabu berkata, wakil rakyat yang terlibat seharusnya berpegang kepada pandangan ulama, mazhab atau perbezaan pandangan selagi ia mempunyai kelonggaran.

"Janganlah kita berpegang kepada satu-satu pandangan sahaja. Rujuklah kepada pandangan ulamak muktabar di Malaysia dan juga dari luar negara.

"Sekali lagi saya menyeru kepada mereka yang terlibat dalam hal ini, agar meletakkan kesabaran paling tinggi dan bertawakal kepada Allah. Berpeganglah kepada pandangan yang paling ringan di antara pandangan-pandangan ulamak yang boleh diterima pakai," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Ahmad Yakob meminta Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli merujuk ke Mahkamah Tinggi Syariah Kelantan dalam isu baiah talak tiga yang dilafazkan pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

Jelas Ahmad, lafaz taklik yang dibuat Hatta itu terpakai, sekali gus menganggap hubungannya dengan isterinya terbatal.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dilaporkan berkata bai'ah untuk calon yang bertanding mewakili parti Islam itu adalah sama bagi setiap negeri.

Bagaimanapun katanya, terdapat pertambahan bagi calon yang bertanding di Kelantan apabila lafaz taklik talak tiga turut menjadi sebahagian daripada bai'ah.

Hatta merupakan antara 10 bekas wakil rakyat PAS yang bertindak keluar parti secara beramai-ramai bagi menyertai Amanah.

Bai'ah, Parti Amanah Negara, PAS

Artikel Lain