suria

Mahfuz Tolak Sertai Amanah, Kekal Dalam PAS

Mahfuz Omar

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar tidak akan mengikut jejak langkah sepuluh wakil rakyat PAS keluar secara beramai-ramai dari parti itu untuk menyertai Parti Amanah Negara (Amanah).

"Saya tetap bersama PAS," katanya di sini, Khamis.

Selain itu menerusi kenyataan medianya, bekas ketua penerangan PAS itu juga mahu kemunculan Amanah tidak dianggap sebagai ancaman kepada parti politik sedia ada khususnya PAS.

"Kemunculan Amanah hendaklah diterima baik sebagai persaingan yang sihat daripada sudut politik dalam proses pemurnian demokrasi di Malaysia yang akhirnya akan memberikan keuntungan pada negara dan rakyat.

"Kepada yang terus kekal dalam PAS usah gusar dengan perkembangan, usah risau apa di hadapan, cabaran pasti mendatang. Tidak cukup kita hanya sekadar berslogan 'Istiqamah Hingga Kemenangan' tetapi rakyat sekali lagi  terlepas daripada kemenangan untuk perubahan yang diharapkan," katanya.

Mahfuz merupakan antara pemimpin progresif dalam PAS yang ditolak ahli parti itu melalui muktamar tahunannya Jun lepas.

Isnin lalu, sepuluh wakil rakyat PAS terdiri daripada lima ahli parlimen dan lima ahli dewan undangan negeri (Adun) gugur keahlian secara automatik selepas mengumumkan menyertai Amanah.

Sepuluh yang gugur keahlian PAS secara automatik itu ialah Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, Dr Siti Mariah Mahmud (Kota Raja), Dr Hatta Ramli (Kuala Krai), Khalid Samad (Shah Alam) dan Mohamed Hanipa Maidin (Sepang).

Sementara lima Adun yang meninggalkan PAS pula ialah Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (Changkat Jering), Aminolhuda Hassan (Parit Yaani), Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi (Pengkalan Kundor), Saari Sungib (Hulu Klang) dan Hasnul Baharuddin (Morib).

Kesemua wakil rakyat ini mempunyai jawatan di dalam Parti Amanah Negara.

Dua lagi Ahli Parlimen PAS iaitu Datuk Kamaruddin Jaafar (Tumpat) dan Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad (Kuala Terengganu) dijangka akan meninggalkan PAS dalam masa terdekat menjelang pelancaran rasmi Parti Amanah Negara pada 16 September depan.

Selain itu Mahfuz mengingatkan semua parti pembangkang supaya sentiasa mengadakan rundingan bagi mencapai kata sepakat dalam pelbagai isu.

"Kepada pemimpin parti pembangkang ingatan jujur saya jangan sampai rakyat muak dan meluat kepada anda semua hanya kerana keegoan dan kedegilan anda.

"Jika ini yang berlaku rakyat akan hilang kepercayaan kepada kepimpinan politik," katanya.

Mahfuz Omar, Parti Amanah Negara, PAS

Artikel Lain