suria

Polis Soal Siasat Penganjur Bersih 4.0 Mengenai Derma

KUALA LUMPUR: Polis Bukit Aman menyoal siasat penganjur Bersih 4.0 mengenai derma yang diterima mereka dan hal berkaitan dengan perhimpunan.

Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah berkata, beliau bersama enam yang lain turut disoal siasat mengenai kandungan kenyataan media yang dibuat, pelancaran himpunan itu pada 14 Ogos lalu, ahli jawatankuasa, persediaan untuk perhimpunan dan bagaimana mereka bersurai.

"Mereka bertanya mengenai derma, berapa banyak kita ada dalam akaun, adakah kita mengiklankannya di media sosial (bagi mengumpulkan derma) dan bagaimana kita menggunakannya," kata Maria kepada pemberita di Bukit Aman pada Rabu.

Mereka yang lain turut disoal siasat ialah timbalan pengerusi, Sarajun Huda; bendahari, Masjaliza Hamzah; ahli jawatankuasa, Farhana Halim dan Fadiah Nadwa; ahli sekretariat, Mandeep Singh dan aktivis pelajar, Adam Adli.

Turut hadir ialah 10 peguam termasuk Datuk Ambiga Sreenevasan, Ramkarpal Singh dan Lateefa Koya.

Mereka disoal siasat dari pukul 10.30 pagi dan pertemuan bersama pihak polis berakhir pada kira-kira pukul 1 petang.

Maria berkata, mereka tidak menjawab kesemua soalan yang dikemukakan polis.

"Kami melaksanakan hak kami untuk tidak menjawab kebanyakan soalan termasuk mengenai derma," katanya.

Ketujuh-tujuh mereka datang ke Bukit Aman secara sukarela selepas difahamkan pihak polis meminta mereka tampil bagi membantu siasatan.

Artikel Lain