suria

Polis Sedang Buru Individu Pijak Gambar Pemimpin - KPN

Insiden peserta Bersih 4 memijak gambar pemimpin negara.

PELABUHAN KLANG: Polis sedang memburu individu yang memijak gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di perhimpunan Bersih 4 hujung minggu lepas, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai individu-individu yang memijak gambar berkenaan segera salurkan kepada polis supaya kita dapat ambil tindakan tegas terhadap mereka," katanya.

Perlakuan memijak gambar pemimpin jelas bukan budaya rakyat Malaysia tetapi ia dilihat cuba dijadikan sebagai budaya oleh penganjur dan peserta demonstrasi itu, katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Pasukan Polis Marin ke-68 di markas operasi pasukan itu di sini, Rabu.

Beliau mengulas mengenai gambar beberapa individu memijak gambar Najib dan  Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada perhimpunan Bersih 4 yang tersebar luas di laman sosial.

Sementara itu, golongan Netizen turut melahirkan rasa kecewa dengan tindakan peserta perhimpunan Bersih 4 tersebut dan melalui laman Facebook, rata-rata mereka mengutuk tindakan biadab itu dengan menyifatkannya sebagai tidak bermoral.Pengguna Facebook, Kemboja Putih berkata tindakan memijak gambar perdana menteri dan presiden PAS itu dianggap biadab dan lari daripada tujuan asal perhimpunan berkenaan.

"Apa kata penganjur tentang kebiadapan ini? Buka mata rakyat Malaysia, bukan kekecohan seperti ini yg kita mahukan..Perhimpunan seperti ini hanya mencemarkan nama negara saja..#SayNoToBersih," katanya.

Shah Liya pula meminta pihak berkuasa menangkap pelaku tersebut supaya menjadi pengajaran kepada orang ramai kerana "niat dia jahat pasal tu dia pijak2".

Kenny Teoh berkata perhimpunan itu sepatutnya diadakan secara beradab.

"Walaupun kita tidak menyokong pemimpin itu, tak perlulah sampai memijak2 gambar mereka. Kita beradablah pada masa perhimpunan, tunjukkan kepada semua kita ni betul2 ikhlas mahukan perubahan. Peace!", katanya.

Selain itu, laporan polis turut dibuat oleh pelbagai pihak mengenai tindakan biadab peserta perhimpunan itu.-- Bernama


Khalid Abu Bakar, Bersih 4

Artikel Lain