suria

Tun M Minta Zahid Kemuka Bukti Penderma RM2.6 Bilion

Mahathir Mohamad.

PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad meminta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya menunjukkan bukti bahawa seorang penderma daripada Timur Tengah menyumbangkan derma politik sebanyak RM2.6 bilion kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bekas perdana menteri itu berkata, Ahmad Zahid baru-baru ini telah memberitahu bahawa beliau telah berjumpa dengan pihak yang memberikan wang berkenaan.

"Timbalan Perdana Menteri yang baharu telah melihat seorang Arab memberikan wang itu. Biarkan beliau memberikan bukti bahawa orang Arab ini mempunyai sejumlah wang yang besar untuk diberikan kepada Malaysia dan banyak negara lain.

"Negara mana? Apakah sumber wang itu? Apakah perniagaan yang dia lakukan? Apakah nama bank yang dia gunakan? Tunjukkan akaunnya di bank, cek yang dia keluarkan, khususnya AS$700 juta itu. Bank penerima sepatutnya menyimpan cek-cek ini," kata Dr Mahathir menerusi kenyataan terbaharu di blognya, chedet.cc pada Rabu.

Ahad lalu, Ahmad Zahid mengesahkan secara peribadi beliau sudah bertemu wakil keluarga dari Timur Tengah yang menderma RM2.6 bilion kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dr Mahathir berkata, kesemua maklumat tersebut mungkin telah disahkan oleh pasukan petugas khas yang menyiasat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang telahpun dibubarkan.

Bekas perdana menteri itu berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikatakan masih melakukan siasatan terhadap derma RM2.6 bilion.

"Jika Najib serius mengenai siasatan terhadap derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam Ambank, beliau sepatutnya menyusun semula pasukan petugas khas yang sebelum ini," jelas Dr Mahathir.

Pasukan petugas khas yang menyiasat 1MDB dibubarkan tidak lama selepas Tan Sri Apandi Ali mengambil alih jawatan peguam negara daripada Tan Sri Abdul Gani Patail bulan lalu. 

Dilaporkan, Ahmad Zahid berkata, sikap Malaysia yang komited dalam mengekang keganasan, berpegang teguh kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah serta negara Islam yang bersikap sederhana dengan kewujudan masyarakat majmuk adalah tiga sebab mengapa penderma dari Timur Tengah itu sudi menyumbang dana politik sebanyak RM2.6 bilion kepada Malaysia.

Ahmad Zahid berkata, pemindahan wang terbabit adalah melalui pelbagai saluran dan syarikat kerana pihak penderma tidak mahu hanya satu cek dimasukkan ke dalam satu akaun menggunakan nama Datuk Seri Najib Tun Razak untuk digunakan sebagai dana politik.

"Saya melihat dokumen yang original (asal) bukan fotostat. Saya lihat juga dari segi pemindahan wang tersebut," jelas beliau.

Artikel Lain