suria

"Taat Setia Saya Adalah Kepada Ayahanda, Negeri Saya" - TMJ

Tunku Ismail
PETALING JAYA: Tunku Mahkota Johor telah memberi amaran kepada pemimpin-pemimpin politik berhubung 'nasihat' kepada Sultan untuk kepentingan peribadi.

Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengingatkan mereka bahawa beliau adalah pewaris takhta Johor dan suaranya menjadi 'suara terakhir yang akan sampai kepada telinga dan perhatian ayahandanya Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.

"Taat setia saya adalah kepada ayahanda saya, Sultan saya. Keutamaan saya adalah kedaulatan dan kesejahteraan negeri dan rakyat Johor.

"Jangan sekali-kali ada yang cuba menyembah nasihat kepada DYMM Tuanku demi kepentingan peribadi. Walaupun apa yang terjadi, air dicincang takkan putus.

"Apabila saya menyembah nasihat kepada DYMM Tuanku, ianya adalah ikhlas dari saya kerana saya tidak mempunyai kepentingan peribadi. Kasih sayang saya kepada ayahanda saya, Sultan saya, tiada yang boleh menggoyahkan atau menghancurkannya," katanya menerusi laman Facebook Johor Southern Tigers pada Jumaat.

Tunku Ismail berkata beliau tidak menuding jari kepada sesiapa atau cuba menegruhkan keadaan, tetapi menegaskan pendirian bahawa beliau sentiasa teguh di belakang Sultan dan rakyat Johor.

Beliau membuat komen ini selepas ramai ahli politik telah dilihat cuba berbaik-baik dengan Sultan Johor, yang telah membawa kepada banyak spekulasi.

Pada Jumaat, Timbalan Perdana Menteri yang baru dilantik Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi  memberitahu perwakilan pada mesyuarat tahunan Umno bahagian Kota Tinggi bahawa ketika beliau mengadap Sultan Ibrahim, Sultan telah mengingatkan beliau bahawa Umno telah dilahirkan di Istana Besar Johor.


Ekoran pertemuan itu, beliau percaya pihak istana berpendapat hanya Umno boleh menyatukan Melayu.

Bagaimanapun katanya, Sultan Ibrahim tidak menyatakan perkara itu dalam bentuk kata-kata.

"Saya percaya sultan berpendapat hanya Umno boleh menyatukan Melayu.

"Sultan Ibrahim mengingatkan saya bahawa Umno dilahirkan di Istana Johor. Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor tidak mahu campur tangan dalam politik namun baginda berharap orang Melayu kekal bersatu.

"Baginda sultan berharap Melayu boleh kekal bersatu.

"Walaupun baginda tidak menyatakannya, saya yakin baginda mengharapkan Umno untuk menyatupadukan orang Melayu," katanya.
TMJ, Tunku Ismail, Sultan Ibrahim

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain