suria

Komitmen Kekang Keganasan Antara 3 Sebab Penderma Sumbang Dana

BATU PAHAT: Sikap Malaysia yang komited dalam mengekang keganasan, berpegang teguh kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah serta negara Islam sederhana dengan kewujudan masyarakat majmuk adalah tiga sebab penderma dari Timur Tengah menyumbang dana politik RM2.6 bilion kepada Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menegaskan perkara terbabit berkata sebab pertama penderma berkenaan memberikan dana itu adalah sebagai penghargaan kepada Malaysia ekoran kesungguhan mengekang keganasan.

"Saya sahkan derma itu dari Timur Tengah sebab saya lihat dokumen itu dan berjumpa ketua pegawai pelaburan kepada penderma dan trustee (pemegang amanah) kewangan keluarga penderma itu. Saya tanya kenapa 700 juta USD didermakan kepada Malaysia.

"Saya tanya kenapa perlu dibantu Umno dan Barisan Nasional (BN). Dia bagi tiga alasan iaitu pertama, kerana Malaysia cukup komited dalam operasi anti keganasan dan jelas Malaysia ada Undang-undang Pencegahan Keganasan (POTA), Kanun Keseksaan, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), kerana kita tidak mahu ada pengganas yang ganggu," katanya.

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden Umno berkata demikian semasa berucap merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Sri Gading di sini Sabtu.

Turut hadir, Ketua Umno Bahagian Sri Gading Datuk Ab Aziz Kaprawi, Ketua Penerangan Umno Johor Datuk Samsulbari Jamali dan Ketua Wanita Umno Johor Datuk Sharifah Azizah Syed Zain.

Ahmad Zahid berkata, perkara kedua menurut penderma berkenaan adalah kerana Malaysia mengamalkan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan penderma berkenaan tidak mahu terdapat mazhab lain yang menyeleweng daripada sunah Rasullullah.

Menurut Ahmad Zahid, perkara ketiga adalah kerana komitmen yang jelas iaitu biarpun Malaysia merupakan negara majmuk dan sederhana, namun, negara-negara Islam tetap mengiktiraf komitmen Malaysia yang memegang Sunnah Wal Jamaah.

"Saya melihat dokumen yang original (asal) bukan fotostat. Saya lihat juga dari segi pemindahan kewangan," tegas beliau.

Ahmad Zahid berkata pemindahan wang terbabit melalui pelbagai saluran dan syarikat kerana pihak penderma tidak mahu hanya satu cek dimasukkan ke dalam satu akaun menggunakan nama Datuk Seri Najib Tun Razak untuk digunakan sebagai dana politik.

"Kalau ini dipertikaikan, bagaimana dana politik yang dipunyai oleh DAP, PKR dan PAS. Itu sebab Perdana Menteri (PM) cabar kepimpinan parti politik pembangkang, kalau mereka dedah sumber dana, PM juga sanggup dedah punca dana itu daripada mana," katanya.

Ahmad Zahid berkata bagaimanapun, setakat ini cabaran itu belum bersambut kerana pembangkang takut untuk mendedahkan daripada sumber mana dana politik mereka diperoleh.

Menurut Ahmad Zahid, beliau menyatakan dan mendedahkan perkara terbabit bagi mengelakkan kekaburan ramai dengan isu dana berkenaan sekali gus mengelakkan fitnah terutamanya yang berleluasa di media sosial dan media barat.

Beliau berkata fitnah sudah seolah-olah menjadi makanan sejak zaman pentadbiran perdana menteri-perdana menteri terdahulu dan ia semakin berleluasa menerusi internet ketika zaman pentadbiran Najib ketika ini.

Katanya penjelasan terbabit juga sebagai pencerahan sekali gus menunjukkan tiada penyelewengan daripada Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) sebaliknya wang derma keluarga Timur Tengah.

"Kalau kita kena fitnah, bagaimana kita rasa. Itu sebab Tan Sri Abu Kassim (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dihantar pergi berjumpa penderma berkenaan dan sahkan tiada rasuah dilakukan sebaliknya dana terbabit 100 peratus didermakan oleh keluarga dari Timur Tengah berkenaan," katanya.


Artikel Lain