suria

Seorang Daripada Tiga Anggota Tentera Terlibat Kemalangan Meninggal Dunia

Sebuah trak tentera terbabas selepas cuba mengelak daripada melanggar sebuah kereta di Jalan Gambang berhampiran Universiti Malaysia Pahang (UMP) petang Jumaat. -fotoBERNAMA
KUANTAN: Seorang daripada tiga anggota tentera yang  cedera selepas trak mereka terbalik di Jalan Kuantan-Gambang berhampiran Universiti Malaysia Pahang (UMP), di sini petang Jumaat, meninggal dunia, pada sebelah malam.

Megat Irwanizam Ibrahim, 27, yang merupakan pemandu trak dari Kem Batu 10 Markas Tentera Darat Kuantan di sini, meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan pada 9.15 malam.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri Pahang Supt Mohd Noor Yusof Ali berkata, dua rakan mangsa yang dilaporkan parah iaitu Mohd Azmi Mohd Jamil, 31, dan Mohd Razali Aziz, 40, masih dirawat di hospital sama.

Dalam kemalangan pada 3.50 petang semalam, trak yang dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menghala ke Kuantan itu dikatakan bergesel dengan sebuah kereta Perodua Myvi dari arah yang sama yang dipercayai bertindak menukar haluan secara tiba-tiba.

"Pemandu kereta Perodua Myvi, Phua EE Lyn, 19, seorang pelajar Metro Kolej Kuala Lumpur yang turut terlibat dalam kemalangan itu hanya cedera ringan," katanya ketika dihubungi di sini Sabtu.

Beliau berkata, mayat mangsa akan dibedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk urusan pengkebumian.
trak tentera, Megat Irwanizam

Artikel Sebelum

Artikel Lain