suria

Najib Terharu Sambutan Luar Biasa Umno Bahagian Kuala Nerus

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) bersalaman dengan Perwakilan ketika tiba di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Gong Badak bagi merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kuala Nerus, Sabtu. -fotoBERNAMA
KUALA NERUS: Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak mengakui majlis persidangan perwakilan Umno Bahagian Kuala Nerus sebagai sesuatu yang luar biasa dan lain daripada yang lain.

Perdana Menteri berkata beliau menganggap sambutan yang diberikan itu sebagai satu "pakej" lengkap dan sangat istimewa baginya dan jarang dibuat pada persidangan perwakilan Umno bahagian di tempat lain.

"Mengapa luar biasa, antaranya jarang-jarang perasmian dalam stadium, biasa dalam dewan sekolah majlis bandaran, tapi teristimewa Umno Kuala Nerus dalam dewan tertutup yang sangat selesa," katanya ketika memulakan ucapan pada majlis perasmian persidangan perwakilan bahagian itu yang dihadiri 5,000 anggota Umno termasuk dari sayap Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Kuala Nerus.

Hadir sama pada majlis itu Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman selaku Pengerusi Perhubungan Umno negeri, timbalannya Datuk Jailani Johari yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta barisan exco kerajaan negeri.

Menurutnya sambutan itu menggambarkan semangat gelombang biru yang bermula di Terengganu masih lagi kuat walau apapun cabaran yang dihadapi Umno hari ini.

Sebelum itu, Najib dan Razif serta barisan exco kerajaan negeri diarak menaiki beca lebih setengah kilometer sebelum tiba di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak di sini hari ini.

Dalam ucapannya, Najib mengingatkan anggota Umno agar kekal berjuang dalam Umno walau apa pun cabaran dan dugaan yang datang melanda.

"Zaman gerhana di Terengganu pernah kita lalui dan masih segar dalam ingatan, sebab itu bila kita berhimpun dalam dewan ini, amat penting untuk kita kuatkan iltizam kita, semangat kita bahawa dalam apa jua keadaan, yang penting perjuangan Umno pasti kita pertahankan.


"Kalau langit tidak sentiasa biru, lepas badai ada pelangi, tapi untuk sampai pelangi itu, kita mesti pegang kepada budaya dan nilai, perjuangan bukan pada nombor bilangan sahaja," katanya.

Sebelum berangkat ke Rantau Panjang, Kelantan, Najib turut menghadiri majlis Jamuan Rakyat yang diadakan di perkarangan Stadium Tertutup Gong Badak di sini bersama ribuan rakyat jelata.

Artikel Lain