suria

BN Tidak Benarkan Cubaan Tubuh Kerajaan Baharu Melalui 'Pintu Belakang'

Ahmad Zahid menyampaikan ucapan perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Penampang pada Sabtu malam. Foto Bernama

KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) tidak akan membenarkan sebarang cubaan untuk menubuhkan kerajaan baharu melalui pintu belakang, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Jelasnya, ini adalah kerana kerajaan BN sekarang dipilih secara demokratik menerusi pilihan raya umum (PRU).

"Apa guna kita diberi kuasa jika kita tidak tahu menggunakan mandat yang diberikan oleh rakyat menerusi pilihan raya (umum).

"Kita harus bersatu padu agar kerajaan sekarang terus didokong oleh Umno dan BN," kata beliau yang juga Naib Presiden Umno ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Penampang di sini, Sabtu malam.

Ahmad Zahid berkata, walaupun menurut Perlembagaan Persekutuan penubuhan kerajaan baharu dibolehkan menerusi majoriti mudah sebanyak 112 undi di Dewan Rakyat, namun terdapat 133 anggota Parlimen dari kalangan BN yang merupakan kekuatan mutlak yang diperolehi BN menerusi PRU-13. 

Ahmad Zahid turut mengingatkan rakyat supaya menolak jika ada cubaan penubuhan sebuah 'kerajaan perpaduan' seperti yang berlaku di Perak selepas PRU-12.

Walaupun PAS yang memimpin kerajaan Perak tetapi PAS seperti pak turut kerana DAP menjadi tulang belakang pemerintahan kerajaan Perak ketika itu, katanya.

Beliau juga yakin terhadap sokongan Sabah terhadap kepimpinan kerajaan sedia ada.

"Saya yakin Sabah kukuh dan mempunyai nurani kuat untuk menyokong kepimpinan kerajaan kerana Sabah adalah 'simpanan tetap' kerajaan BN," katanya.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri berikrar untuk turut turun padang membantu calon-calon BN di Penampang untuk merampas semula kerusi Parlimen dan dua kerusi negeri di kawasan itu pada PRU akan datang.

Pada PRU-13 lepas, kerusi Parlimen Penampang jatuh ke tangan PKR, manakala kerusi negeri Moyog dan Kepayan masing-masing diwakili PKR dan DAP. - Bernama

BN, Ahmad Zahid Hamidi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Jho Low Sedia Bantu SPRM

Artikel Lain