suria

'Low Yat 2' Tonjol Imej Baru, Barangan Tulen

PUTRAJAYA: Cadangan penubuhan 'Low Yat 2' akan menonjolkan imej baharu kepada pusat jualan peralatan telekomunikasi kerana ia menjadi kawasan menjual barangan tulen sahaja, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hamzah Zainuddin.

Katanya imej 'Low Yat' agak negatif kebelakangan ini kerana setiap kali pemeriksaan dijalankan di Plaza Low Yat, pasti ada barangan tiruan dikesan dan peniaga dikompaun.

"Untuk memulihkan imej Low Yat mungkin memakan masa, jadi kita wujudkan tempat baharu dengan imej baharu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan pertama kementeriannya sejak dilantik sebagai menteri di sini, Selasa.

Hamzah berkata kawasan baharu itu juga berpotensi dibangunkan seperti Akihabara iaitu pusat barangan elektronik dan telekomunikasi yang terkenal di bandaraya Tokyo, Jepun dalam jangka masa panjang.

"Kawasan baharu ini bukan untuk kepentingan Bumiputera semata-mata. Jangan namakannya sebagai Low Yat 2 dan sebagainya.

"Apa yang penting tempat baharu ini mempunyai imej baharu dan pengguna mempunyai keyakinan bahawa mereka tidak tertipu kerana tidak ada produk tiruan yang dijual di tempat itu," katanya.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini mencadangkan sebuah ruang jualan produk komputer, dan alatan telekomunikasi khusus diwujudkan untuk peniaga Melayu dan Bumiputera atas platform Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Dalam amanatnya pada perhimpunan bulanan itu sebelum itu, Hamzah berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) perlu menjadi 'the champion ministry' dalam menjaga kepentingan pengguna dan meningkatkan ekonomi negara.

"Perlu ada perkara baharu yang kreatif dan inovatif yang oleh KPDNKK," katanya.

Low Yat 2, Mara

Artikel Lain