suria

Tak Salah Guna Dana Untuk Kegunaan Tadbir Bahagian - Shahrir Samad

Shahrir Samad.

PETALING JAYA: Tan Sri Shahrir Samad yang didakwa menerima RM1 juta daripada Perdana Menteri seperti yang dilaporkan sebuah portal berkata, menerima dana untuk pentadbiran parti adalah perkara biasa.

Laman web Sarawak Report pada Jumaat lalu mendakwa Datuk Seri Najib Tun Razak telah menyalurkan sejumlah dana kepada beberapa pemimpin Umno selepas pilihan raya umum ke-13.

Antara pemimpin Umno yang disebutkan di dalam laporan berkenaan adalah Shahrir yang merupakan Ahli Parlimen Johor Baru, Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan dan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyanti Samsudin yang dikatakan menerima RM1 juta.

"Kepada siapa lagi harus saya minta bantuan kewangan untuk perbelanjaan dalam mentadbir bahagian saya jika bukan dari presiden parti saya sendiri?," kata Shahrir yang dipetik sebagai berkata dalam laman web Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) pada Ahad.

Shahrir yang juga Pengerusi BNBBC menambah, beliau sedia bekerjasama dan memberi penjelasan kepada penyiasat mengenai bagaimana dana itu digunakan.

Beliau berkata, bantuan daripada presiden parti kepada mana-mana bahagian terutama bahagian yang berhadapan dengan kekurangan dana adalah perkara biasa.

Shahrir turut memberitahu bahawa BNBBC akan mempertahankan kerajaan dan pemimpin terutama dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Jelasnya, tindakan itu selaras dengan peranan BNBBC.

"Tak kan saya nak menghukum sesiapa berasaskan laporan media terutama media asing. Saya kena pertahan proses dan institusi sedia ada," kata Shahrir.

Shahrir Samad, BNBBC

Artikel Sebelum

Artikel Lain