suria

Kekalkan Tradisi Jemaah Haji Terbaik - Najib

Najib (centre) bersama Duta Arab Saudi di Malaysia, Datuk Fahad Abdullah Hamad Al-Rashid (kiri), Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom (dua dari kiri) dan Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (kanan) bersalaman dengan jemaah Malaysia yang akan menunaikan ibadah haji di Kelana Jaya, Isnin.

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan jemaah Malaysia supaya mengekalkan tradisi dengan menunjukkan adab yang baik ketika melaksanakan ibadah haji.

Menurut Najib, setiap tahun kerajaan Arab Saudi memberi pengiktirafan kepada jemaah haji Malaysia kerana sentiasa mematuhi undang-undang ketika berada di negara berkenaan.

"Kita menunjukkan adab yang baik. Sikap sedemikian dapat mempamerkan imej Malaysia yang selalu dihormati negara tersebut.

"Bagi tahun ini... teruskan amalan dan tradisi ini supaya jemaah haji dari Malaysia terus mendapat pengiktirafan dan pujian yang begitu baik dikalangan semua negara-negara Islam terutama tuan rumah iaitu kerajaan Arab Saudi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis mengucapkan selamat jalan kepada jemaah haji Malaysia Ke Tanah Suci di Kompleks Tabung Haji di sini, Isnin.

Seramai 270 bakal haji akan menaiki penerbangan keenam dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Madinah pada pukul 12.30 tengah hari, Isnin.

Mengulas lanjut Najib berkata jemaah haji perlu memenuhi masa dengan memperbanyakkan amalan wajib dan sunat seperti berzikir, membaca ayat suci al-Quran, berdoa dan bermunajat kepada Allah.

"Saya berharap semua yang menjadi tetamu Allah nanti melakukan yang terbaik, mengelak daripada melakukan perkara yang tidak berfaedah seperti berbual kosong atau melayari twitter yang tidak memberi faedah," katanya.

Jumlah jemaah haji Malaysia tahun ini adalah 22,320 orang yang akan dibawa menerusi 64 penerbangan menggunakan pesawat MAS dan Saudi Arabian Airlines.

Penerbangan terakhir jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci ialah pada 16 September manakala penerbangan pulang jemaah dijadual dari 29 September hingga 27 Oktober depan.

Artikel Berikut

Artikel Lain