suria

Umno Bahagian Langkawi Jemput Rahman Dahlan Rasmi Mesyuarat Perwakilan

Datuk Abdul Rahman Dahlan
PETALING JAYA: Ahli Majlis Tertinggi Datuk Abdul Rahman Dahlan dijemput oleh Umno bahagian Langkawi untuk merasmikan mesyuarat perwakilan pada Sabtu.

Jemputan dibuat kerana Umno bahagian ini yakin Abdul Rahman, yang juga pengarah komunikasi strategik Barisan Nasional mampu melaksanakan tugasnya dengan baik untuk memberikan penjelasan mengenai perkembangan semasa di negara ini.


Ketua Umno bahagian Langkawi Datuk Nawawi Ahmad berkata jemputan kepada Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dibuat tepat pada masanya selepas ucapan seorang wakil dalam Mesyuarat Wanita Umno bahagian itu, Ahad lalu menjadi kontroversi.

"Kami berharap beliau akan hadir pada majlis pembukaan dan mendengar apa yang Datuk Abdul Rahman mahu jelaskan. Saya juga akan berkongsi maklumat mengenai beberapa isu hari ini," katanya.

"Mudah-mudahan, persepsi beliau terhadap kepimpinan parti akan bertambah baik selepas mendengar penjelasan."

Rakaman video salah seorang perwakilan wanita Umno bahagian Langkawi yang menuduh Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak 'kencing' (berbohong), sedang tersebar di media sosial.


Nawawi berkata Umno bahagian itu tidak mempunyai rancangan untuk mengambil tindakan atau menghukum beliau disebabkan ucapannya, sambil menambah sebagai anggota parti, beliau dibenarkan untuk menyatakan pandangan.

"Tetapi saya berharap beliau akan menghadiri mesyuarat itu dengan hati yang terbuka dan minda yang jelas untuk mendengar cerita daripada satu lagi pihak dan bukan hanya apa yang dibentangkan di ruang siber," kata Nawawi.

Ketua Wanita Umno Langkawi Hisham Suhaily Othman berkata beliau memberitahu perwakilan pada permulaan mesyuarat itu bahawa mereka bebas untuk berkongsi pandangan mereka tetapi mereka perlu menjaga 'bahasa' masing-masing.

Katanya, ahli dari cawangan Padang Mat Sirat itu bukan satu-satunya wakil yang telah membangkitkan isu-isu melibatkan kepimpinan Umno, sambil menambah mereka yang lain juga telah menyatakan pandangan mereka dengan cara yang lebih diplomatik dan tanpa emosi.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata mesyuarat bahagian adalah platform yang sesuai untuk ahli-ahli parti untuk menyatakan pandangan mereka mengenai isu-isu yang memberi kesan kepada parti, kerana kebimbangan yang dibangkitkan semasa mesyuarat itu akan disampaikan kepada kepimpinan.

"Mereka yang mahu memberikan pendapat mereka perlu berbuat demikian dengan ikhlas dan tidak menimbulkan perpecahan di kalangan kita. Pendapat kita perlu dilakukan dengan niat untuk menguatkan dan menyatukan kita, dan tidak membawa kepada ketidakstabilan parti, "katanya.

Artikel Lain