suria

"Saya Tak Pernah Berkomplot Tumbangkan BN, Kerajaan " - Muhyiddin

Muhyiddin Yassin

SEMPORNA: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, adalah "bodoh" jika beliau bertindak untuk menjatuhkan kerajaan yang dibangunkan bersama-sama pemimpin lain dalam negara ini.

Bekas timbalan perdana menteri itu berkata, selama 40 tahun menjadi sebahagian kerajaan, tentunya tidak boleh diterima akal untuk beliau memusnahkan apa yang dibina selama ini.

"Saya tidak akan cuba menjatuhkan kerajaan. Bodohlah saya nak jatuhkan kerajaan yang saya bantu bangunkan.

"Ada yang kata saya nak tumbangkan kerajaan, saya nak jatuhkan kerajaan, luar biasa Muhyiddin seorang boleh jatuhkan kerajaan.

"Saya tak pernah berkomplot, mana ada orang bersama-sama duduk semeja merancang nak tumbangkan kerajaan Barisan Nasional, bodoh saya kalau buat begitu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Semporna, di sini di mana Ketua Umno Bahagian itu adalah Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Muhyiddin dan Shafie digugurkan dalam rombakan Kabinet akhir Julai lalu.

Mengakui menerima apa yang ditakdirkan kepada dirinya, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, kesetiaan kepada parti tidak menghalang ahli mempersoalkan pemimpin yang tersasar dari landasan.

"Kesetiaan kepada pemimpin ada hadnya terutama jika berada di landasan betul," katanya.

Beliau menjelaskan, antara dirinya dan Shafie, mereka tidak pernah mempunyai agenda tersembunyi ketika mempersoalkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sebaliknya, kata Muhyiddin, sebagai pemimpin yang dipilih rakyat, menjadi tanggungjawab untuk menyuarakan kebimbangan akar umbi kepada kepimpinan tertinggi kerajaan.

Beliau turut menyifatkan isu 1MDB umpama skandal kewangan BMF yang pernah dihadapi negara pada 1980-an membabitkan dana berjumlah RM3 bilion.

Bagaimanapun, tambah beliau, jumlah hutang 1MDB lebih besar dan pemimpin diarah supaya tidak mempersoalkannya kerana ia dikatakan tidak membabitkan wang rakyat.

"Saya beritahu Perdana Menteri, berbilion ringgit yang dipinjam untuk melangsaikan hutang 1MDB dan ia menjadi libiliti negara," katanya.

Muhyiddin juga mempersoalkan jaminan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamys bahawa situasi kewangan syarikat itu dapat diperbaiki ke tahap lebih baik dalam masa enam bulan, manakala Kabinet dimaklumkan ia akan dicapai pada 2016.

Katanya, jika beliau memiliki syarikat dan pada satu hari mendapati ia menanggung hutang berbilion ringgit tentunya akan serta merta memecat CEO dan Lembaga Pengarah.

"Sebaliknya, saya dan Shafie yang jadi ahli kelab menteri yang dipecat," kata Muhyiddin.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain