suria

Ahli Umno Jangan Jadi 'Tukang Viral' Sebar Maklumat Tak Sahih - Mohd Puad

Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi
BATU PAHAT: Anggota Umno hari ini digesa supaya tidak sewenang-wenangnya mempercayai fitnah di media sosial dan menjadi 'tukang viral' dalam menyebarkan maklumat yang tidak sahih.

Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata dalam keadaan 'zaman fitnah' berleluasa ketika ini, anggota Umno perlu bekerja 'secara luar biasa' dalam menangani cabaran fitnah itu menerusi medium berkenaan.

"Dalam perkembangan media sosial ketika ini, benda yang positif pun jadi negatif. Sekarang, ternyata media sosial merupakan senjata yang boleh menjatuhkan kerajaan kalau kita tidak tanganinya secara luar biasa.


"Maklumat yang disampaikan menerusi medium itu (media sosial) boleh dimanipulasikan sehingga mempengaruhi rakyat supaya percaya sesuatu yang palsu sebagai perkara benar," katanya.

Mohd Puad yang juga Ketua Umno Bahagian Batu Pahat berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno bahagian berkenaan, di sini Sabtu.

Merujuk situasi ketika ini, Mohd Puad yang juga Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi sasaran mangsa fitnah berleluasa sehingga 'dicederakan seteruk-teruknya' menerusi media sosial.

Sehubungan itu, beliau berkata anggota Umno mesti mempunyai tekad untuk menangkis segala serangan yang ditimbulkan di media sosial dan menjawab tuduhan dengan pantas dalam segala isu yang ditimbulkan.

Beliau berkata JASA pada masa yang sama juga mempunyai 'cyber troopers' yang memainkan peranan secara luar biasa di media sosial bagi memperbetulkan sebarang fitnah yang wujud.

"JASA kini tidak lagi mengambil pendekatan defensif tetapi menyerang.
Kita betulkan apa yang tidak betul, kita dedahkan perkara sebenar supaya orang ramai jelas mengenai situasi yang berlaku," katanya, sambil mengulangi bahawa JASA akan menerbitkan buku berkaitan jawapan kepada isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam tempoh terdekat.

Artikel Lain