suria

Melaka Alive Perkenal 'The Pirate Adventure' Di Bandar Hilir

MELAKA: Melaka Alive memperkenalkan produk pelancongan terbaharu 'The Pirate Adventure' di kawasan Kompleks Sejarah Bandar Hilir, di sini bagi menampilkan pengalaman luar biasa untuk pelancong merasai dan menelusuri kehidupan lanun.

Penasihat Melaka Alive, Mohd Nizar Mohd Najib berkata produk terbaharu itu merupakan projek pameran interaktif yang mengandungi pelbagai elemen kejutan dan kesan khas bagi menghidupkan suasana pengembaraan lanun.

Beliau berkata produk ketiga syarikat Nuevo Attraction  and  Destination Sdn Bhd selepas Bahtera Merdeka dan 'Colours of Melaka' itu mensasarkan kedatangan pengunjung sekurang-kurangnya 20,000 orang setiap bulan.

"The Pirate Adventure pastinya memberi pengalaman luar biasa yang pasti tidak dapat dilupakan terutama kepada mereka yang gemarkan pengembaraan dan kelainan. 

"Pengunjung akan menemui pelbagai jalan cerita tentang kehidupan lanun di setiap sudut yang pastinya memberi keterujaan dan kejutan," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pelancaran 'The Pirate Adventure' di sini, Sabtu.

Turut hadir Pengurus Besar Perzim, Datuk Khamis Abas.

Mohd Nizar berkata 'The Pirate Adventure' mula dibuka kepada pengunjung bermula 2 petang tadi dan tiket berharga antara RM15 hingga RM25. 

Ia dibuka setiap hari bermula 10 pagi hingga 7 petang pada Isnin hingga Khamis manakala 10 pagi hingga 9.30 malam pada Jumaat hingga Ahad. -- Bernama 



Artikel Lain