suria

Isu 1MDB Perlu Diselesaikan Segera Demi Kredibiliti Umno - Hishammuddin

Hishammuddin Tun Hussein (tengah) bergambar kenangan bersama veteran UMNO selepas menerima sijil penghargaan masing-masing pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Padang Besar, Sabtu.

PADANG BESAR: Isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) perlu diselesaikan bagi memastikan kredibiliti Umno tidak terjejas, kata Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Justeru, katanya, biarpun siasatan terhadap transaksi syarikat pelaburan strategik negara itu akan memakan masa namun ia perlu diteruskan bagi mencari penyelesaian.

"Yang penting bukan individu tetapi institusi (parti) itu sendiri. Dalam proses siasatan dan mencari keadilan, jangan ada pihak-pihak tidak berdosa menjadi mangsa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Padang Besar di Beseri, dekat sini, Sabtu.

Menyentuh mengenai penerangan parti itu mengenai isu 1MDB dan sumbangan derma RM2.6 bilion dalam dana politik kepada anggota di peringkat umbi, beliau berkata mereka dapat menerima penjelasan parti berhubung isu tersebut.

"Cuma janji kita pada ahli dan rakyat bahawa isu-isu ini mesti diselesaikandan siasatan terhadap 1MDB memakan masa," katanya. -

Hishammuddin, yang juga Menteri Pertahanan, menegaskan bahawa fokus pentingpada ketika ini ialah langkah-langkah strategik bagi menangani  kedudukan ekonomi negara, kejatuhan nilai Ringgit dan harga komoditi.

Sementara itu di KOTA BARU, Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata rakyat sehingga kini hanya melihat 1MDB daripada perspektif negatif tanpa menilai sumbangan syarikat itu.

"Berapa ribu rumah yang 1MDB telah buat. Ada tak mana-mana pihak yang dapat rumah itu menceritakan kebaikan tersebut," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Perwakilan Wanita Umno Bahagian Kota Baharu di sini.

Semuanya negatif seolah-olah 1MDB tiada jasa langsung kepada rakyat. Ini saya cukup kesal dan kecewa," katanya.

Artikel Lain