PM Umum Penubuhan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Pembiayaan Politik

Najib ketika mengumumkan penubuhan JKNMPP di pejabatnya di Putrajaya sambil disaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low dan Datuk Seri Idris Jala.

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak  mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) bagi merangka satu pelan pembiayaan politik berintegriti yang komprehensif dan inklusif.

Beliau berkata JKNMPP akan menghasilkan pelan tindakan pembiayaan politik berintegriti melalui pembaharuan dan penambahbaikan undang-undang yang diperlukan dalam tempoh setahun, dan seterusnya dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.

Buat masa ini, tidak ada peraturan mengenai pembiayaan politik yang boleh menentukan sesuatu itu salah atau tidak, walaupun terdapat beberapa peraturan mengenai perbelanjaan pilihan raya.

"Pelan ini diharap akan meningkatkan keyakinan bukan sahaja kepada anggota parti-parti politik malah rakyat dan generasi akan datang," katanya pada sidang media di sini, Jumaat.

Najib berkata JKNMPP akan dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Paul Low manakala seorang lagi menteri di JPM Datuk Seri Idris Jala sebagai timbalannya.

Institut Integriti Malaysia (IIM) akan bertindak sebagai Pusat Rujukan dan Rundingan JKNMPP dengan bantuan sekretariat, dan peruntukan disediakan oleh Bahagian Integriti dan Tadbir Urus (BITU) JPM.

Beliau berkata JKNMPP ditubuhkan bagi menentukan proses konsultatif di semua peringkat dan mengambil kira pandangan semua pihak.

JKNMPP akan dianggotai wakil parti-parti politik, tokoh masyarakat, ahli akademik, pemikir, agensi-agensi kerajaan berkaitan, sektor swasta, pertubuhan masyarakat sivil dan pihak berkepentingan termasuk generasi muda, katanya.

"JKNMPP akan menimbang semua aspek peraturan pembiayaan politik termasuk perubahan institusi, pemantauan serta penguatkuasaaan undang-undang dan peraturan baru," kata beliau.

Perdana Menteri berkata JKNMPP akan menjadi penasihat kepada kerajaan dalam hal pembiayaan politik berintegriti. 

Najib berkata pelan pembiayaan politik berintegriti itu akan menangani isu pembiayaan politik yang pernah dibangkitkannya sejak 2009, namun ia tidak mendapat sambutan.

Beliau berkata terdapat keperluan mendesak untuk mengawal selia pembiayaan politik bagi memastikan kebertanggungjawaban dan ketelusan demi mewujudkan amalan politik sihat.

Inisiatif itu adalah sebahagian daripada agenda Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk mewujudkan tadbir urus dan mekanisme 'check and balance' (semak dan imbang), kata beliau.

Perdana Menteri berkata jawatankuasa itu juga akan menyediakan forum untuk anggota-anggotanya mengemukakan buah fikiran bagi menentukan mekanisme dan model pembiayaan politik yang berintegriti.

"Jawatankuasa ini akan menyelia usaha dialog konsultatif dengan segenap lapisan masyarakat di seluruh negara. "Proses konsultatif akan dilaksana berdasarkan amalan terbaik  serantau dan sedunia," katanya.

Apabila ditanya penerimaan pembangkang terhadap penubuhan JKNMPP itu, Najib berharap mereka sedia menerima sistem pembiayaan yang telus dan berintegriti itu.

Sementara itu, Low berkata jawatankuasa itu sedia memulakan tugasnya serta merta.

"Kita sudah pun merangka tugas-tugas asas kira-kira dua hingga tiga minggu lepas," katanya.


Artikel Sebelum

Klik

Ayuh utamakan keselamatan pekerja! Jom sasar kurangkan kecederaan, penyakit di tempat kerja

KESELAMATAN dan kesihatan dalam kalangan pekerja perlu sentiasa menjadi keutamaan.

Kajian semula tarif IWK amat diperlukan untuk penjagaan alam sekitar dan kebersihan awam

DALAM usaha untuk mengekang penularan pandemik Covid-19 di seluruh dunia, banyak perniagaan yang terpaksa gulung tikar ketika tempoh PKP.

Wow! Usahawan dedah bagaimana SOP mampu jadikan bisnesnya lebih power

FRASA 'SOP' (Prosedur Operasi Standard) telah menjadi buah mulut dalam kalangan rakyat Malaysia sejak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dimulakan pada bulan Mac 2020.

Covid-19: Seminar Dr Azizan diteruskan secara online, tapi auranya ‘fuhhh’ macam buat dalam dewan besar - “Kami tak nak tangguh kejayaan anda”

PENULARAN wabak Covid-19 semakin meruncing berikutan peningkatan mendadak jumlah kes jangkitan virus itu di Malaysia.

Semua ada! Menu dunia, lokasi menarik lengkapkan pakej Australia... destinasi ‘wish list’ percutian anda

AUSTRALIA bukan sahaja mempunyai pelbagai lokasi menarik tetapi menawarkan pelbagai pilihan makanan halal yang cukup mudah diakses di mana sahaja.

Artikel Lain