suria

Dua Lelaki Ditahan, Pistol Pegawai Polis Ditemui Semula

BUKIT MERTAJAM: Polis menahan dua lelaki yang disyaki terlibat dalam beberapa kejadian pecah rumah di daerah ini dan menemui semula pistol milik anggotnya yang dilapor hilang dalam kejadian pecah rumah seorang pegawai kanan polis di sini Julai lepas.

Kedua-dua lelaki berusia dalam lingkungan 20-an itu ditahan di Butterworth, dekat sini Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor berkata, seorang daripada lelaki yang ditahan itu penganggur yang mempunyai 17 rekod jenayah manakala seorang lagi bekerja sebagai penghantar surat.

"Siasatan awal mendapati seorang daripada mereka yang memang aktif dalam kegiatan pecah rumah itu memecah masuk rumah pegawai polis berkenaan pada 26 Julai lepas," katanya ketika dihubungi, di sini, Jumaat.

Dalam kejadian itu, sepucuk pistol jenis Walter P99 milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang diguna seorang pegawai kanan polis dilapor hilang apabila rumah pegawai kanan itu dipecah masuk,

Ketika kejadian pegawai kanan polis berusia 50-an dan bertugas di kontinjen Kelantan itu pulang bercuti di sini.

Beberapa barang lain milik pegawai kanan berkenaan turut dilarikan, antaranya telefon bimbit, beg dan wang tunai.--Bernama

Rusli Mohd Noor, Butterworth, pistol

Artikel Lain