suria

Kementerian Pertahanan Sedia Bantu Pencarian MH370

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan sedia memberi bantuan yang diperlukan untuk mencari baki atau serpihan lain pesawat Malaysia Airlines MH370 bagi merungkai misteri kehilangan pesawat itu.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata walaupun penemuan sayap pesawat itu di Pulau Reunion melegakan hati banyak pihak, namun usaha mencari lebih banyak bukti bukan merupakan tugas yang mudah.

"Selepas penemuan bukti terbaharu itu, masih banyak lagi tugas yang diperlukan kerana ia tidak dapat menentukan di mana kedudukan sebenar pesawat itu.

"Ia bukan mudah. Itu kawasan terpencil, lautannya dalam dan bukan banyak peralatan di dunia ini yang boleh digunakan. Tetapi kita sudah lakukannya sebelum ini pada keluasan 60,000 kilometer persegi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis pemaikan pangkat Pegawai Kanan Kehormat Askar Wataniah kepada Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man dan Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada Khamis.

Hishammuddin diminta mengulas mengenai pengumuman yang dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak awal pagi tadi yang mengesahkan serpihan sayap yang ditemui di Pulau Reunion adalah milik MH370 yang hilang lebih 17 bulan lalu.

Penerbangan MH370 dari Kuala Lumpur menuju Beijing hilang pada 8 Mac 2014 bersama-sama 239 penumpang dan anak kapal.

Hishammuddin berkata memandangkan serpihan yang dijumpai itu merupakan serpihan terapung, para pakar harus mengenal pasti dari segi arus lautan untuk meneruskan pencarian pesawat.

"Tetapi dengan petunjuk yang kita ada sekarang di Pulau Reunion, kita boleh perkecilkan kawasan pencarian dan perkara ini saya percaya sedang dipertimbangkan bukan sahaja oleh Kementerian Pengangkutan tetapi juga pakar-pakar dari negara lain khususnya Australia dan China," katanya.

Beliau berkata model kerjasama yang digunakan ketika peringkat awal pencarian pesawat iaitu bersama China dan Australia, boleh digunakan sekali lagi berikutan perkembangan terkini itu.

MH370, MAS

Artikel Lain