suria

Lima Plaza Tol Di Utara Mula Kutipan Elektronik September Ini

ALOR SETAR: Sebanyak lima plaza tol milik PLUS Malaysia Berhad (PLUS) di Kedah dan Pulau Pinang akan melaksanakan kutipan tol secara elektronik (ETC) sepenuhnya bermula 9 September ini.

Ketua Pegawai Operasi PLUS Mohammad Fuad Khusairi berkata lima plaza tol itu ialah di Jitra dan Bukit Kayu Hitam, Kedah serta Plaza tol Jambatan Pulau Pinang, Kubang Semang dan Lunas di Pulau Pinang.

Beliau berkata orang ramai kini boleh mendapatkan kad Touch 'n Go pada harga promosi RM5 dan SmartTAG pada RM96 di plaza-plaza tol sehingga 30 September ini.

"Pelaksanaan ETC dapat mengurangkan kesesakan di plaza tol terlibat. Bagi mereka yang tidak mempunyai kad Touch 'n Go, kita juga turut buka kaunter di sebelah kiri bagi membolehkan orang ramai mendapatkan kad tersebut.

"Bagi pelancong luar terutamanya warga Thailand, mereka juga perlu mendapatkan kad tersebut. Kita juga telah iklankan dan salurkan maklumat itu kepada rakyat Thailand yang keluar masuk negara ini," katanya pada taklimat pelaksanaan ETC di sini, Rabu.

Mohammad Fuad berkata pihaknya akan melaksanakan sistem ETC di plaza tol tertutup lain pada masa akan datang bagi memastikan kelancaran trafik yang menggunakan lebuh raya PLUS.

Beliau juga menjangkakan kesesakan di plaza tol Bukit Kayu Hitam dapat dikurangkan apabila plaza tol itu diasingkan daripada Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Bukit Kayu Hitam.

"Kita jangka pada Mac tahun depan plaza tol Bukit Kayu Hitam akan beroperasi di premis baharu," katanya. -- Bernama



PLUS, Mohammad Fuad Khusairi, ETC

Artikel Lain