suria

PAS P.Pinang Marah Dua Ahli Dilantik Semula Sebagai Ahli Majlis

Mhd Nasir Yahya
GEORGE TOWN: PAS Pulau Pinang marah berhubung pelantikan semula dua ahlinya sebagai wakil dalam Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP).

Pesuruhjaya PAS Negeri Mohd Fauzi Mohd Yusof berkata kedua-dua mereka akan dirujuk kepada jawatankuasa disiplin parti.

"Kedua-duanya telah melanggar pendirian parti untuk tidak mempunyai kaitan dengan DAP. Jika DAP kuat dan tidak memerlukan sokongan PAS, mengapa parti itu melantik ahli-ahli kami sebagai ahli majlis? " tanya beliau.

Terdahulu pada Isnin, Mhd Nasir Yahya, 62, mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis MBPP dan Dahalan Fazil, 57, sebagai ahli Majlis MPSP.

Mhd Nasir telah meletakkan jawatan sebagai ahli Majlis MBPP pada 15 Jun manakala Dahalan berhenti sehari kemudian, berikutan perpecahan di antara DAP dan PAS.

Walau bagaimanapun, difahamkan bahawa kedua-dua mereka kini menyokong kumpulan serpihan PAS, Gerakan Harapan Baru (GHB).

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan negeri Chow Kon Yeow berkata kerajaan negeri mempunyai hak untuk melantik sesiapa sahaja sebagai ahli majlis dan calon-calon tidak perlu mewakili sebuah parti politik.

Mhd Nasir, seorang pengurus bank yang telah bersara berkata beliau masih ahli PAS dan jawatan terakhir beliau dalam parti adalah sebagai Naib Pengerusi PAS Bukit Gelugor.

"Saya akan menyertai GHB sebaik sahaja ia didaftarkan sebagai sebuah parti politik," katanya.

Dahalan, perunding landskap berkata beliau juga akan menyertai GHB.

"Sebaik sahaja GHB didaftarkan, keahlian saya dalam PAS akan secara automatik ditamatkan," kata beliau.
Mhd Nasir Yahya, Dahalan Fazil, MBPP, MPSP

Artikel Lain