suria

Hospital Shah Alam Beroperasi Oktober Ini - Subra

Hospital Shah Alam.

SHAH ALAM: Operasi Hospital Shah Alam (HSA) di Seksyen 7 di sini yang tertangguh selama tujuh tahun akan bermula secara berperingkat pada pertengahan Oktober hadapan, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Beliau berkata perkhidmatan hospital akan dimulakan dengan pembukaan klinik pakar dan hemodialisis.

"Hospital ini secara keseluruhannya telah disiapkan pada 30 Jun lepas dan operasi hospital akan bermula berperingkat dengan pembukaan klinik pakar pada Oktober ini sebelum kita menerima kemasukan pesakit (in-patient) pada awal Januari tahun hadapan.

"Sekarang, kita masih di peringkat pengujian dan pemeriksaan peralatan perubatan termasuk sistem komputer bagi membolehkan hospital ini beroperasi sepenuhnya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan hospital itu kepada kementeriannya oleh Kementerian Kerja Raya di sini, Selasa.

Turut hadir Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof dan Ketua Pengarah Kerja Raya Datuk Ir. Adanan Mohamed Hussain.

Menurut Subramaniam, selain mengurangkan kesesakan pesakit di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, Hospital Shah Alam juga dilihat mampu menawarkan perkhidmatan perubatan terbaik kepada penduduk di Shah Alam dan kawasan sekitarnya.

"Hospital ini memuatkan 300 katil pesakit dan turut menawarkan 14 skop perkhidmatan kepakaran hospital antaranya pediatrik, pembedahan, ginekologi dan obstetrik.

"Seramai 366 doktor termasuk doktor pakar ditempatkan di hospital ini," katanya.

Projek pembinaan HSA yang membabitkan kos sebanyak RM549 juta itu telah dimulakan pada 2007 dan sepatutnya siap dalam tempoh tiga tahun.

Bagaimanapun projek itu tergendala berikutan kontraktor asal gagal menyiapkannya mengikut jadual.

Hospital Shah Alam

Artikel Lain