suria

Letak Jawatan Tidak Jejas Kelangsungan Pergerakan Sayap Parti - Khairy

Khairy Jamaluddin.

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menegaskan keputusan tiga kepimpinan sayap parti meletak jawatan susulan rombakan Kabinet minggu lepas tidak akan menjejaskan kelangsungan pergerakan parti.

Malahan, Khairy menyifatkan keputusan dua wakil pemuda Umno Johor serta Ketua Pergerakan Puteri Umno Bahagian Tebrau, Suriyani Subar itu sebagai hak peribadi masing-masing dan beliau menghormatinya.

Beliau turut memberi peringatan kepada pemuda Umno di setiap cawangan supaya tidak mengeluarkan kenyataan mendesak perdana menteri memberi penjelasan lanjut berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sebelum pasukan petugas khas selesai menjalankan siasatan.

"Saya berpendirian bahawa sepertimana, yang dinyatakan oleh Pemuda Umno sebelum ini bahawa kita akur dengan keputusan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) (mengenai rombakan kabinet) sebab ini adalah hak mutlak PM untuk menentukan barisan jemaah menteri," katanya.

Khairy, yang juga Menteri Belia dan Sukan, berkata demikian selepas majlis pelancaran pasukan Ski Malaysia di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM), di sini, Isnin.

Jumaat lepas, Ahli Jawatankuasa Pemuda Umno Bahagian Tenggara, Asrul Esreen Mohd Salleh dan Saiful Zakry Ripin mengumumkan peletakan jawatan mereka manakala Suriyani meletakan jawatan pada 13 Julai lalu.

Ia susulan, Tan Sri Muhyiddin Yassin digugurkan sebagai Timbalan Perdana Menteri dalam rombakan Kabinet dan digantikan dengan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Bagaimanapun Muhyiddin beberapa kali mengulangi pendiriannya untuk terus membantu Najib mengukuhkan Umno.
Khairy Jamaluddin, Umno

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain