suria

Jadual Bekalan Air Berkala Akan Dilaksanakan Di Johor Baru

JOHOR BARU: Jadual bekalan air secara berkala bakal dikeluarkan SAJ Holdings Sdn Bhd dalam tempoh terdekat berikutan paras air di Empangan Sungai Layang, Masai, di sini, semakin merosot.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Johor Datuk Hasni Mohammad berkata tindakan perlu dilakukan bagi memastikan 500,000 pemilik akaun di kawasan Johor Baharu dan Pasir Gudang mendapat bekalan air mencukupi.

"Tindakan pemberian air secara berkala itu membolehkan keupayaan loji atau empangan terbabit dilanjutkan. Ia juga dapat memastikan bekalan air berterusan di kawasan yang terlibat," katanya yang ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri SAJ Holdings, di sini Isnin.

Hasni berkata semua pemegang akaun di kawasan yang terlibat itu akan dimaklumkan terlebih dahulu sebelum tindakan pemberian secara berkala itu dilakukan.

Menurut Hasni, Empangan Sungai Layang ketika ini mencatatkan paras 19.19 meter iaitu di bawah paras kritikal, 23.5 meter.

Sementara itu, mengulas kenaikan kadar tarif air di negeri ini yang bermula 1 Ogos lepas, Hasni berkata ia dilihat tidak membebankan rakyat selain mendidik masyarakat menggunakan air dengan berhemah.

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) baru-baru ini mengumumkan kadar tarif air di Johor dinaikkan antara RM2 dan RM3 setiap meter padu bagi kegunaan domestik yang melebihi 20 meter padu dan 35 meter padu sebulan.

Kali terakhir tarif air di Johor disemak dan diselaraskan adalah pada 1 November 2010.

Artikel Lain