suria

MH370: Pasukan Penyiasat Malaysia Jumpa Pegawai Perancis

Azharuddin Abdul Rahman.

KUALA LUMPUR: Pasukan penyiasat Malaysia tiba di Palais de Justice di Paris pada Isnin untuk berbincang dengan pegawai Perancis mengenai perkembangan terkini susulan penemuan serpihan pesawat MH370, menurut agensi berita, Agence France-Presse (AFP).

Agensi itu yang memetik wartawannya melaporkan bahawa pasukan lima anggota dari Malaysia, diketuai oleh Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman, tiba sejurus sebelum 1200 GMT di mahkamah tertinggi Perancis itu dan berkata satu kenyataan akan dikeluarkan pada akhir mesyuarat.

Mereka dijangka bermesyuarat dengan pasukan yang mengetuai siasatan Perancis termasuk seorang hakim, sekumpulan pakar dan polis, kata AFP.

Perancis mengetuai siasatan sekarang selepas serpihan dari bahagian pesawat MH370 dijumpai terdampar di di Pulau La Reunion milik Perancis di Lautan Hindi.

Penerbangan MH370 hilang dari imbasan radar kira-kira tengah malam pada 8 Mac tahun lepas ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal.
MH370, DCA, Azharuddin Abdul Rahman

Artikel Lain