suria

Dua Wanita Didakwa Buat Tuntutan Palsu RM80,000

PETALING JAYA: Dua wanita termasuk Ketua Unit Muzium Perubatan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) pada Jumaat berhadapan dengan lima pertuduhan memalsukan invois tuntutan bernilai RM80,000.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan berkata, Ketua Unit Muzium, Nor Asiah Muhamad dan seorang awam, Normi Mustapha, masing-masing berusia 46 tahun, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Rasuah Khas Kuala Lumpur pada Jumaat.

Menurut suruhanjaya itu, kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Allaudeen Ismail.

"Nor Asiah didakwa bersubahat dengan Normi dalam melakukan kesalahan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 iaitu meluluskan tuntutan palsu yang dikemukakan oleh Normi. Tuduhan ke atas Nor Asiah juga dibaca bersama Seksyen 28(1)(c). Normi didakwa mengikut Seksyen 18 Akta SPRM.

"Tuntutan melibatkan RM80,000 dibuat kononnya bagi lima kursus antara 2012 dan 2013 untuk pegawai dan kakitangan IMR, yang sebenarnya tidak dikendalikan," kata SPRM dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mengikut kertas pertuduhan, Nor Asiah didakwa meluluskan tuntutan yang dibuat oleh Normi.

"Jika sabit kesalahan kedua-dua tertuduh boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun, denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai wang rasuah atau RM10,000 atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi," kata suruhanjaya itu.

Menurut SPRM, kes berkenaan disebut semula pada 25 Ogos depan.

SPRM

Artikel Lain